fbpx

Laluan motosikal di Putrajaya ditukar kepada laluan berbasikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANNUAR mendengar penerangan mengenai beberapa laluan sekitar Putrajaya yang bakal dinaiktaraf dan digunakan bagi penggiat sukan berbasikal.

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dalam perancangan menukar laluan motosikal di sini kepada laluan berbasikal susulan cadangan kementerian menjadikan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu sebagai bandar mesra sukan berbasikal.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, Perbadanan Putrajaya (PPj) akan mengambil langkah-langkah membatalkan laluan yang sebelum ini diwartakan sebagai laluan motosikal kepada lorong berbasikal.

“Kita mempunyai kawasan yang dulunya dibina bertujuan untuk mengasingkan laluan motosikal dengan kenderaan lain tetapi tidak ramai penunggang motosikal di Putrajaya, sebab itu kita mahu ubah suai laluan tersebut untuk dijadikan laluan berbasikal,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Komuniti Putrajaya di sini hari ini.

Sumbangan itu disampaikan kepada wakil enam sub zon serta 36 persatuan penduduk di Putrajaya yang setiap zon dan sub zon menerima sumbangan RM2,000 daripada inisiatif tambahan Wilayah Cakna 3.0.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Rosida Jaafar dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Muhammad Azmi Mohd. Zain.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, laluan berbasikal tersebut terdiri daripada bulatan luar sejauh 34 kilometer (km) dan bulatan dalam kira-kira 15 km.

Katanya, projek itu dijangka siap dalam tempoh satu atau dua bulan lagi bergantung kepada keadaan semasa.

“Selain lorong berbasikal, kementerian bercadang untuk menyediakan kemudahan lain termasuk kafe, bengkel dan kedai alat ganti basikal serta tempat letak kereta untuk penunggang basikal melakukan aktiviti ini di Putrajaya,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, KWP juga akan menjemput persatuan berbasikal dan pihak berkaitan untuk mendapatkan pandangan berkaitan keselamatan jalan raya khususnya buat penunggang basikal.

“Idea ini ingin dibuat di Kuala Lumpur juga tetapi masih lagi dalam peringkat awal dan kita sedang kenal pasti kawasan tasik sesuai di ibu negara untuk pembinaan lorong berbasikal,” katanya. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI