KUALA LANGAT – Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat akan menjual 31 jenis bahan makanan menerusi konsep kedai bergerak bagi memenuhi keperluan harian penduduk di Jalan Emas 31 dan 32, Taman Sungai Emas, yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (Temco).
Pengerusinya, Dr.Abdul Razak Khasbullah berkata, penjualan barangan seperti cili merah, sayuran, bawang dan ayam itu akan berlangsung selama empat jam bermula pukul 8 pagi, esok.
Katanya, penjualan bahan makanan dibenarkan sebanyak dua kali dalam seminggu iaitu Rabu dan Jumaat.
“Pekerja kita akan mula menjual dengan konsep kedai bergerak dengan seramai empat orang ditugaskan untuk aktiviti penjualan berkenaan.
“Kesemua barangan tersebut adalah secara siap bungkus bagi mencepatkan urusan jual-beli,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan persediaan pihak PPK Kuala Langat ke kawasan tersebut di sini hari ini.
Terdahulu, Flat Sungai Emas dan taman perumahan di Jalan Emas 31 dan 32, Taman Sungai Emas di sini yang keluasan 5.9 hektar dilaksanakan Temco berkuat kuasa semalam sehingga 10 November depan.
Kira-kira 300 anggota terlibat dalam pemantauan dan pengawalan Temco itu antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pusat Kesihatan Daerah dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Sementara itu, seorang peniaga kedai makan di Teluk Panglima Garang, Mohd. Shaharani Samiri, 53, memberitahu, bersedia menerima pesanan makanan di kawasan Temco itu sekiranya dibenarkan oleh pihak berkuasa.
“Kita sedia membantu dengan penghantaran adalah di pos kawalan seperti yang disyaratkan dalam prosedur standard operasi Temco,” katanya. – K! ONLINE