LONDON – Jaguh pecut dunia, Christian Coleman terlepas untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2021 selepas digantung daripada menyertai sebarang kejohanan selama dua tahun kerana melanggar peraturan anti doping.
Bintang baharu juara dunia 100 meter dari Amerika Syarikat itu sebelum ini berdepan penggantungan dua tahun selepas dia sendiri mendedahkan dirinya terlepas ujian doping pada Disember tahun lalu.
Bintang pecut berusia 24 tahun itu terlepas penggantungan tahun lalu selepas melanggar tiga peraturan anti-doping sepanjang 2018 dan 2019.
Wakil Coleman, Emanuel Hudson mengesahkan pemegang rekod dunia 60m (meter) akan mengemukakan rayuan terhadap Mahkamah Timbang Tara (CAS) selepas keputusan Unit Integriti Olahraga (AIU).
“Coleman tidak perlu mengatakan apa-apa lagi sehingga perkara itu dapat dibicarakan di mahkamah,” kata Hudson.
Juara dunia dua kali tersebut diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan rayuan di CAS selepas dilarang menyertai apa jua pertandingan sehingga 13 Mei 2022.
Coleman sebelum ini dikatakan mengelak untuk melakukan ujian doping meskipun AIU telah pergi ke rumah pelari pecut AS tersebut untuk melakukan ujian doping.
Bagaimanapun, AIU telah menunggu bagi tempoh satu jam dan Coleman menjelaskan dia tiada di rumah apabila sedang membeli belah untuk persiapan Krismas. – AGENSI