SEJAK wabak Covid-19 meledak bermula akhir tahun lalu, dunia sudah melupakan banyak perkara besar yang berlaku sebelum itu.
Dunia sudah melupakan penderitaan rakyat Syria yang berhadapan dengan perang saudara sejak 2011 dan sehingga hari ini telah meragut nyawa lebih 380,000 orang.
Pertempuran tanpa kesudahan itu berlaku hanya kerana seorang ini mahu mengekalkan kuasanya, iaitu Presiden Bashar Al-Assad.
Negara tersebut juga menyaksikan lebih 3.8 juta rakyatnya menjadi pelarian baik di negara sendiri, negara jiran atau ke negara-negara Eropah.
Dunia juga sudah melupakan kesengsaraan rakyat Palestin bermula tahun 1948 lagi iaitu sejak 72 tahun lalu apabila negara haram Israel mula bertapak dan sedikit demi sedikit menjajah tanah milik rakyat negara itu.
Hari ini, dengan pelbagai tekanan dan penindasan yang dilakukan oleh rejim Zionis menyebabkan hampir satu pertiga rakyat Palestin bergelar pelarian – tanpa rumah, pekerjaan dan kebebasan.
Malah lebih 1.5 juta daripada mereka menjadi penghuni kem-kem pelarian di beberapa negara jiran khususnya di Jordan dan Lebanon.
Dunia juga lupa ujian getir yang melanda lebih 900,000 etnik Rohingya yang terpaksa melarikan diri dari bumi Myanmar akibat tindakan kejam pihak tentera membakar dan membunuh etnik tersebut ekoran konflik yang tercetus di negeri Rakhine.
Hari ini sebahagian mereka cuma tinggal di khemah-khemah pelarian di sempadan Bangladesh dan sebahagian lagi menyabung nyawa apabila menaiki bot meredah ribut dan ombak untuk melarikan diri ke negara-negara lain.
Begitu juga dunia semakin melupai nasib penduduk Yemen yang berhadapan dengan kebuluran, ketiadaan kemudahan pendidikan dan perubatan mencukupi apabila berlaku perang saudara sejak tahun 2014 dan tidak berkesudahan sehingga hari ini.
Dilaporkan lebih 100,000 orang terbunuh dalam perang merebut kuasa itu, manakala 1.8 juta kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan dengan jumlah yang sama tidak meneruskan persekolahan.
Itu belum lagi kita renungkan nasib rakyat di Libya, sebilangan negara di Afrika serta etnik Uyghur di Xinjiang.
Berbalik dengan senario kita di Malaysia ini, hampir tidak pernah kita diuji dengan dugaan seperti negara-negara tersebut selain penderitaan rakyat ketika tanah air dijajah Jepun dan semasa anggota Komunis mengganas di beberapa lokasi.
Kita hari ini berdepan dengan ujian baharu, wabak Covid-19 yang melumpuhkan kemajuan ekonomi, menyekat kebebasan pergerakan dan menghalang proses pendidikan.
Malangnya dalam keadaan rakyat tertekan dan sebahagian lagi semakin terbeban dengan kesengsaraan akibat ‘perang’ dengan Covid-19 yang belum reda, pemimpin parti-parti politik pula kelihatan begitu bernafsu memulakan paluan gendang untuk merebut kuasa dan kerajaan.
Eloklah kita semua bermuhasabah dengan nasib yang menimpa rakyat di sebilangan negara yang sehingga hari ini masih dalam keadaan tidak menentu kerana kuasa dan politik. Masalah sebenar ada dalam diri kita sendiri.