fbpx

30 rumah rosak dalam kejadian ribut petir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zawawi Arriffin hanya mampu termenung melihat kerosakan rumahnya dalam kejadian ribut di Kampung Telaga Papan Pasir Puteh semalam.

PASIR PUTEH – Sebanyak 30 buah rumah penduduk di Kampung Telaga Papan di Semerak di sini rosak teruk selepas atap dan bumbung kediaman diterbangkan angin dalam kejadian ribut petir petang semalam.

Kejadian pada pukul 6.30 petang itu menyebabkan enam keluarga terpaksa menyelamatkan diri ke rumah jiran berhampiran selepas bumbung rumah mereka tercabut.

Salah seorang mangsa, Zawawi Arriffin, 50, berkata, ketika kejadian ribut berlaku, dia bersama isteri dan dua anak berada di luar kawasan rumah sebelum bergegas masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan diti.

Katanya, bagaimanapun, secara tiba-tiba keseluruhan bumbung rumahnya tercabut dan diterbangkan angin sebelum ia terhempas di kawasan berdekatan.

“Dalam keadaan basah kuyup kami berpindah ke rumah ibu bapa saya kira-kira 15 meter dari rumah kami.

“Ini merupakan kali ketiga kejadian ribut berlaku di kawasan ini. Dua kejadian sebelum ini hanya merosakkan empat hingga lima keping atap, namun kali ini keseluruhan bumbung diterbangkan angin,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian.

Zawawi berkata, susulan daripada kejadian itu, semua barangan di dalam rumahnya termasuk peralatan elektrik mengalami kerosakan.

Peka dengan nasib yang menimpa penduduk, Ahli Dewan Undangan Negeri Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim, Kadi Jajahan Pasir Puteh, Fadli Sulaiman dan Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Puteh, Wan Norhayati Wan Husain hadir ke lokasi kejadian untuk menyampaikan bantuan kecemasan.

Seorang lagi mangsa, Saidi Awang Teh, 55, berkata, keluarganya terselamat kerana sempat melarikan diri ke ruangan dapur apabila sebahagian rumahnya ranap dihempap pokok mangga berusia 70 tahun.

“Syukur kami selamat meskipun berada dalam ketakutan selepas mendengar dentuman kuat pokok besar menimpa rumah. Insiden itu menyebabkan bumbung rumah pecah.

“Susulan kejadian ini, saya menganggarkan keseluruhan kerugian sebanyak RM10,000 untuk membaiki semula kerosakan bumbung,” katanya.

Sementara itu, Wan Hassan, pihaknya akan bertindak segera membantu penduduk membaiki kerosakan rumah menerusi bancian yang sedang dijalankan oleh penghulu mukim dan kakitangan JKM.

Menurutnya, penduduk perlu tabah dan bersabar menghadapi musibah yang berlaku selain bersyukur kerana tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku antara mereka.

“Kerugian yang dialami kesemua 30 keluarga dianggarkan hampir RM100,000. Kakitangan JKM telah pun menyalurkan bantuan segera mengikut keperluan mangsa,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI