PUTRAJAYA – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya memuji tahap pematuhan warga Putrajaya sepanjang fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 14 Oktober lalu.
Ini terbukti apabila hanya 48 kompaun dikeluarkan IPD Putrajaya sejak 14 hari yang lalu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata, setakat ini, tahap pematuhan warga Putrajaya terhadap PKPB adalah pada tahap yang tinggi.
Beliau berkata, pihaknya amat komited dan konsisten agar penduduk Putrajaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam fasa kedua PKPB yang akan disambung sehingga 9 November ini.
“Bagi fasa kedua PKPB ini, saya masih lagi mengekalkan kekuatan pegawai dan anggota yang sedia ada.
“Malah kami masih lagi mendapat bantuan daripada pasukan sahabat iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Dengan tahap pematuhan yang tinggi, tiada keperluan lagi untuk menambah kekuatan keanggotaan sedia ada untuk bekerja di lapangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pihaknya masih mengekalkan dua sekatan jalan raya (SJR) iaitu di Lebuh Sentosa menghala keluar ke Lebuhraya Maju (MEX Expressway) di Persiaran Utara menghala keluar ke Serdang.
Mohd. Fadzil berkata, dua lagi SJR akan digerakkan bila-bila masa setiap hari dan di lokasi yang dikehendaki dengan kekuatan keanggotaan dua pegawai bersama 12 anggota.
“Kami juga akan terus meningkatkan pemantauan dan rondaan di sekitar Putrajaya dengan menumpukan kawasan-kawasan ‘hotspot’ dan kawasan-kawasan lain dengan kekuatan yang sedia ada ketika PKPB fasa satu.
“Kami ada tiga pasukan pematuhan yang saya gerakkan setiap hari bagi memantau tahap kepatuhan SOP warga Putrajaya dengan kekuatan tiga pegawai dibantu sembilan anggota serta enam anggota ATM,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Fadzil berkata, pihaknya meluluskan kira-kira 2,800 permohonan rentas daerah dan negeri sepanjang fasa pertama PKPB yang lalu.
“Pada masa sama, kami terpaksa menolak permohonan-permohonan dengan alasan yang pelik dan tidak masuk akal.
“Antara alasan dikemukakan termasuk mahu bersiar-siar, bosan kerana duduk di rumah, mahu bermain golf, ingin bertemu kawan, menghadiri jamuan hari jadi dan menghantar haiwan peliharaan di hotel haiwan,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan lanjutan PKPB di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya selama 14 hari lagi bermula esok hingga 9 November ini.
Lanjutan itu dibuat berikutan situasi peningkatan kes positif selain penilaian Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendapati masih terdapat lokasi yang berisiko tinggi bagi penularan Covid-19. – K! ONLINE