LEIPZIG – Pemain sayap RB Leipzig, Angelino sedia membuktikan kemampuannya menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Manchester United di Old Trafford awal pagi esok.
Bekas pemain Manchester City itu menampilkan aksi cukup memberangsangkan bersama Leipzig selepas gagal mencuri perhatian Pep Guardiola di Stadium Etihad sebelum ini.
Setakat ini, pemain Sepanyol itu dianggap antara pemain paling menyerlah dalam saingan Bundesliga apabila sudah menjaringkan empat gol dalam tujuh perlawanan.
“Secara jujur, saya pernah menganggap tidak akan bermain lagi atau tidak sesuai menyarung jersi Manchester City. Bagaimanapun, Leipzig memberi peluang kepada saya untuk kembali menyinar,” jelasnya.
Pada masa sama, pemain berusia 23 tahun menegaskan, dia dan rakan-rakan sepasukan tidak akan memberi laluan mudah buat United meskipun turun sebagai pasukan pelawat.
“Pada pemerhatian saya, United sering menampilkan aksi yang tidak seimbang. Kadangkala mereka berkelas dunia dan ada masanya, mereka hanya pasukan biasa.
“Oleh itu, kami tidak perlu takut untuk berdepan mereka kerana Leipzig juga ada peluang untuk mencatat kemenangan pada perlawanan itu nanti,” ujarnya. – AGENSI