DUNGUN – Kehadiran seekor ular sawa seberat hampir 110 kilogram (kg) sedang berlingkar di dalam kawasan berhampiran reban ayam telah membuatkan seorang penternak terkejut di Kampung Santong dekat sini semalam.
Mohd. Amir Ruslan, 26, berkata, dia telah terserempak dengan ular yang dianggarkan sepanjang lapan meter itu sewaktu memasuki kawasan reban ayam berkenaan pada pukul 2 petang.
Dia berkata, sewaktu ditemui, ular sawa itu sedang berlingkar berhampiran pagar kawasan reban ayamnya.
“Sebenarnya ini kali keempat ular sawa telah memasuki reban ayam saya sepanjang tahun ini memandangkan ia berhampiran dengan hutan tetapi saiznya kali ini sangat besar.
“Pada mulanya saya mahu membiarkan sahaja dengan harapan reptilia itu pulang semua ke hutan namun menukar keputusan menghubungi pihak berkuasa untuk meminta bantuan, kerana bimbang ayam ternakan saya akan dimakannya selain keselamatan pekerjasaya,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Dungun, Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung penemuan ular sawa itu pada pukul 3.59 petang.
Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira sejam untuk menjinakkan ular sawa terbabit sebelum dapat menangkapnya. – K! ONLINE