IMPIAN pasukan Todak untuk meraih kemenangan sulung pada kejohanan Liga Profesional Mobile Legends Malaysia/Singapura (MPL MY/SG) akhirnya tercapai selepas muncul juara dengan rekod bersih tanpa kalah.
Pada aksi final, pasukan Malaysia tersebut mempamerkan aksi cukup cemerlang apabila berjaya mengatasi juara terdahulu EVOS SG dengan kemenangan 3-1 sekali gus dinobatkan sebagai juara MPL MY/SG musim keenam.
Todak yang dibarisi pemain terbaik seperti Muhammad Danial Mohamad Fuad (Ciku), Wan Usman Wan Imran (4Meyz), Mohamad Aiman Idris (Xray), Muhammad Rizwan Abdullah (Eone), Zairul Hazim Zailani (Stoo) dan Zikry Shamsuddin (Moon) mempamerkan aksi cukup luar biasa apabila tidak tewas sepanjang pusingan perlawanan.
Pada aksi final tersebut juga, Todak melakukan persediaan yang cukup rapi ketika berdepan EVOS SG apabila mereka berjaya menyingkirkan beberapa hero selepas bimbang ia mampu mengucar-ngacirkan perlawanan.
Selain menjadi pasukan luar biasa, terdapat seorang pemain yang negara yang paling digeruni ketika menggunakan hero assasin iaitu Ciku.
Hero yang digunakan Ciku seperti Ling dan Helcurt memang memberi igauan ngeri kepada pihak lawan.
Pada perlawanan ketiga, ketika Evos SG dilihat cuba melakukan serangan balas gagal melakukannya selepas Ciku membuat kejutan dengan memberi tekanan sebelum menghancurkan pertahanan terakhir pasukan Evos sebelum muncul juara.
“Memenangi MPL merupakan permulaan baik untuk diri saya dan Todak. Saya mahu pasukan Todak menjadi juara pada musim ini. Seperti saya katakan sebelum ini, kami ingin kekal sebagai pasukan underdog dan mahu menjulang kemenangan.
“Akhirnya kami berjaya menggenggam kejuaraan dan saya bangga dapat bersama pasukan Todak. Untuk berada pada tahap seperti ini bukan mudah dan segalanya perlukan pengorbanan. Saya harap kemenangan ini dapat membuka mata terutama kepada golongan muda untuk terus memajukan e-Sukan di Malaysia,” kata Ciku baru-baru ini.
Ciku mempersembahan perlawanan cukup agresif pada musim keenam apabila berjaya menyingkiran 150 hero pasukan lawan dalam 25 perlawanan yang disertainya.
Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui, perjalanannya untuk menjadi pemain terbaik MLBB bukan mudah kerana dia bukan terdiri daripada keluarga senang.
Ujarnya, apa yang dilalui dahulu menjadi pembakar semangat kepadanya untuk menjadi pemain e-Sukan terbaik negara dan Asia satu hari nanti.
“Saya bukan datang daripada keluarga senang dan saya terpaksa menggunakan telefon abang semata-mata untuk bermain MLBB. Pada mulanya curi-curi main dan bila abang tahu dia benarkan saya bermain.
“Telefon itu tidak lah canggih macam sekarang dan tiap kali main pasti tersekat-sekat. Bagaimanapun, keluarga tetap menyokong saya terutama ibu yang menghadiahkan telefon bimbit.
“Saya tidak lupa jasa mereka dan kini saya serius dalam e-Sukan untuk mengharumkan nama keluarga dan negara,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Perjalanan pasukan Todak dilihat bukan calang-calang dalam saingan Mobile Legend: Bang-Bang apabila berjaya dinobatkan sebagai naib juara MPL-MY/SG musim 2019, sebelum mengotakan janji untuk muncul juara edisi 2020.