fbpx

SOP ketat semua penjara di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Sakeri (kanan depan) menerima sumbangan PPE daripada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Shah Alam, hari ini. -Foto ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Prosedur standard operasi (SOP) di semua penjara di Selangor diperketatkan sepenuhnya termasuk larangan aktiviti menziarah banduan bagi mengekang penularan Covid-19.

Penguatkuasaan larangan itu melibatkan Penjara Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Puncak Alam dan Penjara Wanita Kajang.

Pengarah Jabatan Penjara Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Sakeri Dollah berkata, pihaknya tidak membenarkan sama sekali pergerakan keluar masuk di empat penjara utama tersebut.

“Larangan itu melibatkan kunjungan orang ramai sama ada ahli keluarga atau peguam kepada mana-mana banduan.

“Kebenaran memasuki penjara hanya diberikan atas urusan tertentu antaranya berkaitan pembersihan dan pembekalan makanan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kenderaan dan Barangan bagi Memerangi Covid-19 di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Jabatan Penjara itu diserahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ujar Mohd. Sakeri, SOP ketat seumpama itu perlu dilaksanakan berterusan pihaknya bagi memastikan tiada kes serius Covid-19 dicatatkan.

“Hanya satu kes positif berlaku melibatkan banduan Penjara Wanita Kajang sebelum ini namun berjaya dikekang sepenuhnya daripada menular.

“Kita mahu situasi tanpa sebarang kes ketika ini kekal dan akan terus menjalankan saringan ke atas banduan baharu sebelum ditempatkan ke dalam penjara di negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tiada pegawai dan kakitangannya dijangkiti pandemik tersebut setakat ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI