IPOH – Rasa curiga orang ramai mengenai kegiatan beberapa individu ‘keluar masuk’ ke dalam satu unit rumah di Sunway City dekat Tambun di sini membongkar rahsia mereka yang menjalankan aktiviti judi atas talian.
Dalam serbuan pada pukul 9.30 malam Jumaat lalu, tangkapan membabitkan tujuh individu termasuk dua wanita berusia lingkungan 21 hingga 38 tahun yang kesemuanya warga Indonesia.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan mendapati kesemua individu itu berasal dari Pontianak, Indonesia dan masuk ke negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial.
Katanya, mereka yang bertindak sebagai operator itu ditawarkan gaji antara RM2,000 hingga RM5,000 berdasarkan jualan permainan yang dipromosikan menerusi aplikasi WeChat, Michat dan Facebook.
“Sasaran pelanggan adalah warga tempatan dengan menawarkan pelbagai permainan termasuk kiss, joker, 918, newturn, kiss kaya dan roulete yang melibatkan transaksi harian antara RM5,000 ke RM15,000.
“Siasatan mendapati, seorang daripada tangkapan tersebut bertindak sebagai pengajar kepada enam yang lain bagi menjalankan aktiviti berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Ipoh di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam serbuan itu pihaknya merampas tiga set komputer riba, 20 telefon bimbit pelbagai jenama, set modem internet, buku catatan judi atas talian dan tujuh pasport Indonesia.
Katanya, premis tersebut disewa sejak Februari lalu dan dibantu oleh seorang lelaki tempatan yang dikenali sebagai Chow.
“Serbuan di rumah teres di kawasan berpagar dan berpengawal itu dilakukan selepas menerima aduan orang awam yang hairan dengan kegiatan yang dilakukan di rumah tersebut.
“Modus operandi sindiket ini sangat teliti sehinggakan jiran terdekat tidak mengetahui berapa ramai yang berada dalam rumah tersebut.
“Kita masuk ke dalam premis itu pun atas maklumat awam yang pelik terhadap satu unit rumah yang didapati seperti ramai orang tetapi keluar masuk individu agak terhad,” katanya.
Tambah beliau, suspek direman sehingga 7 November ini untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1952 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. -K! ONLINE