SHAH ALAM – Polis Selangor memberi amaran kepada kepada orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 November depan.
Ketua Polis negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, amaran itu diberikan berikutan pihaknya mendapati tahap pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat masih rendah.
Menurutnya, pihaknya tidak menafikan pematuhan SOP oleh masyarakat sepanjang tempoh PKPB dua minggu lalu sememangnya ada.
“Namun masih ada segelintir yang tidak memandang serius mengenai peraturan ditetapkan kerajaan dan lalai untuk mematuhinya biarpun kegagalan mematuhinya boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Oleh demikian, kita memberi amaran supaya orang ramai mematuhi peraturan ditetapkan. Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menahan individu yang mengingkari peraturan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir ke majlis Penyerahan Kenderaan dan Barangan bagi Memerangi Covid-19 di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.
Terdahulu, dalam majlis tersebut, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menyerahkan lapan jet ski dan 17 basikal elektrik kepada polis bagi kegunaan Op Benteng di kawasan pesisiran pantai dan sempadan laut di negeri ini.
Mengulas lanjut berhubung penyerahan jet ski dan basikal, Noor Azam berkata, jentera itu akan digunakan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM) untuk memantau kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di laluan laut.
“Kita merasakan keperluan untuk semua kenderaan ini kerana terdapat kes tangkapan antaranya di sekitar Sungai Besar, Kuala Selangor dan Kuala Langat.
“Walaupun jumlah kes mungkin tidak banyak, namun kita perlu mengambil langkah pencegahan bagi mengelak penularan pandemik terutama melibatkan PATI,” ujarnya. – K! ONLINE