fbpx

PKPD, PKPB Nilai bermula tengah malam tadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR

SEREMBAN – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Nilai d sini bermula tengah malam tadi.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner, Che Zakaria Othman, Kira-kira 400 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terlibat sepanjang penugasan pelaksanaan PKPD dan PKPB itu.

Katanya, jumlah anggota itu termasuk yang akan membuat kawalan keselamatan di tiga buah blok asrama pekerja di Putra Point, Nilai dekat sini yang dilaksanakan PKPD.

“Kawat yang dibekalkan oleh ATM juga mula dipasang. Dianggarkan kira-kira 180 pekerja yang masih belum mendapat keputusan (ujian saringan).

“Saya tak jangkakan masalah besar dalam pelaksanaan PKPD ini sebab tempat ini dalam kawalan dan kami akan kuatkuasakan peraturan ditetapkan, kita juga mempunyai mekanisme yang cukup untuk halang (pekerja keluar),” katanya dalam sidang akhbar malam tadi.

Tambahnya, pihaknya juga akan melaksanaan lima sekatan jalan raya di sekitar Nilai yang turut melibatkan anggota tentera dan Rela.

“Selain sekatan jalan raya, dua pasukan kereta peronda polis (MPV) juga akan buat rondaan.

“Oleh itu saya minta untuk penduduk supaya mematuhi peraturan yang diwartakan untuk PKPB dan PKPD ini,” tambahnya.

Jelasnya, Che Zakaria juga menasihatkan kepada penduduk kawasan terlibat dengan PKPB supaya duduk di rumah jika tiada keperluan untuk bergerak keluar.

“Diharapkan beri kerjasama sepenuhnya dalam usaha kita lawan pandemik Covid-19, insya-Allah kita dapat atasi masalah ini,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan PKPB akan dilakukan di zon Nilai, berkuat kuasa 28 Oktober hingga 10 November ini manakala PKPD juga akan dilaksanakan di Putra Point, Nilai.

Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan sebanyak 35 lokaliti termasuk taman perumahan di Nilai yang terlibat dengan pelaksanaan PKPB serta tiga jalan iaitu Jalan BBN 1/7A, Jalan BBN 1/7B, Jalan BBN 1/7E yang terletaknya tiga buah blok asrama pekerja yang terlibat dalam pelaksanaan PKPB. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI