SEPANG – Seorang penumpang kenderaan utiliti sukan (SUV) rentung selepas kenderaan dinaikinya terbakar di kawasan semak bersebelahan Jalan Airport City 2 dekat Kota Warisan, di sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat KLIA bersama Unit Forensik Kebakaran dikerah ke lokasi selepas menerima laporan kejadian itu.
Beliau berkata, sebaik tiba pada 4.47 pagi, pihaknya mendapati sebuah SUV Toyota Harrier terbakar sebelum operasi memadam kebakaran dijalankan.
“Toyota Harrier itu terbakar 100 peratus, manakala mangsa di dalam kenderaan didapati rentung. Identiti mangsa tidak diketahui.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya ketika Kosmo! hari ini.
Katanya, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran sama ada akibat kemalangan atau ada unsur jenayah. – K! ONLINE