KULIM – Perjalanan seorang peniaga ke Hospital Kulim untuk menjalani pemeriksaan selepas mengadu sakit dada berakhir dengan dia maut dalam kemalangan di Taman Petaling Jaya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.23 pagi itu, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu mangsa, Kho Beng Thek, 63, terbabas sebelum merempuh tembok longkang.
Beng Thek dilaporkan maut di lokasi kejadian manakala isterinya berusia lingkungan 50-an tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama isterinya dalam perjalanan dari rumah di Taman Kempas di sini ke Hospital Kulim.
“Mangsa dipercayai hilang kawalan ketika menuruni jalan berbukit sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar tembok longkang.
“Hasil siasatan awal, mangsa dipercayai mengalami hentakan kuat pada dada akibat terkena stereng kereta sehingga mengakibatkan kematiannya,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pegangkutan Jalan 1987,” tambahnya. – K! ONLINE