SELAYANG – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap dua anggota polis dalam lokap balai polis dua hari lalu.
Mohd. Hazeran Sudin, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Koperal Mohd. Khairullizam Atan dan Lans Koperal Aron Pungin ketika penjawat awam itu menjalankan tugas.
Kesalahan didakwa dilakukan di lokap Balai Polis Selayang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini pukul 11 pagi pada 26 Oktober lalu.
Difahamkan kekerasan jenayah itu adalah tertuduh telah bertindak agresif dengan cara mencucuk mata kiri salah seorang anggota polis tersebut dengan menggunakan jari tangan kanan.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisak Hassni mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 manakala
tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan tidak berkemampuan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu di mahkamah sama tertuduh mengaku salah atas pertuduhan melakukan khianat dengan menendang motosikal Yamaha 135LC milik jirannya Meor Mohamad Nor Affendy Meor Zulkifli ,23, sehingga rosak dengan anggaran kerugian RM150.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Pangsapuri Mutiara Gombak Batu 7 di sini pukul 7 pagi pada 25 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu pertuduhan di kemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sama bagi jatuh hukum dengan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM3,500. – K! ONLINE