fbpx

Penganggur gali tanah, sorok dadah dalam reban ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan ,Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar menunjukkan dadah yang dirampas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini.

KOTA BHARU – Seorang penganggur tidak menyangka taktiknya yang menyembunyikan bekalan dadah bernilai RM240,000 di dalam reban ayam dan menggali lubang di persekitaran rumah di Ketereh di sini dapat dihidu oleh pihak polis semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, polis menyerbu rumah teres setingkat yang menjadi tempat tinggal suspek berusia 52 tahun itu pada pukul 9.15 malam selepas melakukan risikan awal di rumah berkenaan.

Menurutnya, sewaktu serbuan, polis tidak menemui barangan yang menyalahi undang-undang malah lelaki itu juga tidak memberi kerjasama sebelum membawanya keluar dari rumah tersebut untuk menjalankan soal siasat.

Katanya, sewaktu sesi soal siasat, polis menemui empat kawasan di pekarangan rumah itu seperti kesan tanah yang baru digali.

“Anggota polis telah bertindak menggali tanah sedalam 0.3 meter di keempat-empat kawasan yang dikenal pasti. Kita akhirnya berjaya menemui 18,000 biji pil di dalam 30 bungkusan plastik dan tin biskut yang disembunyikan dalam lubang itu.

“Pemeriksaan lanjut dan soal siasat terhadap suspek berjaya membawa kepada penemuan dadah jenis heroin seberat 24 gram bernilai yang disimpan dalam lima botol kecil di dalam sebuah reban ayam di belakang rumahnya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Menurut Sheik Azhar, berdasarkan siasatan, pil yaba dan heroin itu dipercayai sudah disimpan di lokasi berkenaan kira-kira tiga hari lalu berdasarkan kesan tanah yang telah digali oleh suspek.

Katanya, siasatan mendapati, rumah itu dijadikan stor penyimpanan bekalan dadah oleh sindiket pengedaran dadah sebelum ia diedarkan kepada kira-kira 12,000 penagih di seluruh negeri ini dan Terengganu.

“Polis sedang mengenal pasti sindiket atau rangkaian yang mempunyai hubungan dalam kegiatan yang dijalankan oleh suspek ini.

“Bagaimanapun, berdasarkan ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah,” katanya.

Katanya, pemeriksaan juga mendapati, suspek aktif menjadi pengedar dadah sejak lapan tahun lalu berdasarkan tujuh rekod lampau dengan hukuman terakhir dikenakan tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas ) 1985 pada 2013.

Dalam perkembangan lain, Sheik Azhar berkata, sebelum menjalankan serbuan di Ketereh, polis telah menahan seorang penganggur berusia 27 tahun dipercayai menjadi pengedar dadah jenis syabu seberat 101 gram dianggarkan bernilai lebih RM10,000.

Katanya, serbuan di sebuah rumah di Kubang Kerian pada pukul 5 petang itu menemui dadah tersebut yang berada dalam genggaman suspek.

“Suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau selain mula aktif menjadi pengedar dadah sejak enam bulan lalu.

“Hasil siasatan mendapati, kedua-dua suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang kaitan antara satu sama lain dalam sindiket pengedaran dadah yang dijalankan oleh mereka,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua penganggur itu kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Selasa depan untuk siasatan lanjut.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI