PENIPISAN lapisan ozon bukan satu isu baharu dan masalah itu telah lama diperdebatkan di peringkat global.
Jika tidak dikawal, ia akan meninggalkan kesan yang besar terhadap Bumi.
Sejak tahun 1994, tanggal 16 September ditetapkan sebagai Hari Ozon Sedunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ia disambut sebagai memperingati komitmen semua negara terhadap obligasi untuk melindungi lapisan ozon Bumi serta mengingatkan penduduk dunia kepentingan ozon kepada kehidupan seharian mereka.
Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (Ipsas) Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, lapisan ozon mempunyai fungsinya yang tersendiri.
Menurutnya, lapisan ozon terletak di lapisan stratosfera iaitu kira-kira 15 hingga 30 kilometer dari permukaan bumi yang berfungsi untuk menyerap sinaran ultra ungu (UV) berbahaya supaya tidak memasuki ruang dan permukaan Bumi.
“Fungsi penyerapan sinaran UV berbahaya oleh ozon stratosfera ini amat penting untuk semua kehidupan.
“Hal ini kerana, pendedahan berterusan kepada sinaran UV secara berlebihan boleh mengakibatkan penyakit berbahaya seperti barah kulit, sakit mata dan melemahkan sistem ketahanan badan, selain memberi kesan terhadap rantaian makanan dan seterusnya mengganggu ekosistem dunia,” katanya.
Tambahnya, selain itu, ozon juga mempunyai pelbagai kegunaan lain seperti dalam bidang perubatan.
Ia jelasnya, digunakan untuk mengubati pesakit dengan cara terkawal dan mempunyai penggunaan yang meluas seperti rawatan kulit terbakar.
Dalam bidang perindustrian pula, ozon digunakan untuk proses nyah kuman sebelum dibotolkan, menghapuskan pencemaran dalam air, membantu proses flocculation iaitu penggabungan molekul membantu penapis menghilangkan besi dan arsenik, mencuci dan memutihkan kain, membantu mewarnakan plastik serta menentukan ketahanan getah.
Dalam pada itu, Haliza menjelaskan, ozon adalah salah satu daripada gas yang membentuk atmosfera.
“Ozon terhasil dengan pelbagai tindak balas kimia, tetapi mekanisme utama penghasilan dan perpindahan dalam atmosfera adalah penyerapan tenaga sinaran UV daripada matahari. Jumlah ozon dalam atmosfera berubah mengikut lokasi geografi dan musim.
“Umumnya, kawasan tropika memiliki ozon yang rendah. Ozon di lapisan stratosfera baik kerana melindungi kita daripada sinaran UV, namun apabila ia turun ke troposfera, ia menjadi ozon tidak baik kerana kedudukannya di lapisan bawah dianggap gas rumah hijau dan tercemar,” jelasnya lagi.
Tegasnya, apabila turun, ia akan mengurangkan ozon di stratosfera dan itulah yang kita panggil sebagai penipisan lapisan ozon.
Lubang ozon telah dikesan di Antartika disebabkan penipisan lapisan ozon antara altitud tertentu seluruh kawasan tersebut pada musim bunga.
Penipisan tersebut dikesan setiap tahun sejak sedekad lalu.
Penipisan lapisan ozon penyumbang utama pemanasan global yang mana ia adalah fenomena pemerangkapan gas dikenali sebagai gas rumah hijau.
Gas rumah hijau merangkumi kumpulan gas karbon dioksida, karbon monoksida, kloro floro karbon (CFC), metana, nitrogen oksida yang telah menghalang dan memerangkap haba Bumi daripada terbebas ke angkasa.
Gas rumah hijau membenarkan bahang matahari menembusinya tetapi menghalang pembebasan semula bahang Bumi ke atmosfera.
“Punca utama penipisan lapisan ozon adalah penggunaan bahan kimia secara berlebihan seperti CFC, halon, karbon tetraklorida (CTC), metil bromida (MBr) dan hidro klorofluoro karbon (HCFC) yang merupakan bahan utama ozon. Kesemua bahan ini dikenali sebagai bahan pemusnah ozon (BPO).
“BPO sangat unik kerana ia tidak mendatangkan kesan secara langsung kepada manusia, tetapi menipiskan lapisan ozon,” jelas Dr. Haliza.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, Malaysia komited dalam melindungi lapisan ozon dengan menjadi salah satu negara di bawah Perjanjian Protokol Montreal iaitu perjanjian antarabangsa yang ditubuhkan di bawah Konvensyen Vienna pada tahun 1987 dalam mengawal penggunaan BPO.
Malaysia merupakan anggota kepada Protokol Montreal sejak tahun 1989.
“Sebagai negara yang komited, Malaysia melakukan beberapa pencapaian penting untuk melindungi lapisan ozon bumi.
“Antaranya menghentikan pengimportan kloro fluoro karbon, halon dan karbon tetraklorida pada 1 Januari 2010,” ujarnya
Dr. Haliza menegaskan, antara peranan boleh dimainkan rakyat adalah mengurang atau menghentikan penggunaan produk berasaskan CFC dan HCFC seperti bekas polisterina.