PUTRAJAYA – Perang menentang pandemik Covid-19 yang berlanjutan sejak awal tahun sebelum memasuki gelombang ketiga awal bulan ini ternyata memberikan kesan dan tekanan bukan sahaja kepada petugas barisan hadapan malah kepada warga kerja Kementerian Kesihatan (KKM).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, beliau sendiri turut mengalami kelesuan serta tekanan mental dan fizikal yang amat tinggi seperti yang dirasai barisan petugas hadapan lain.
Katanya, ini kerana, dia termasuk warga KKM lain di setiap lapisan peringkat ‘berperang’ tanpa henti secara berterusan untuk 10 bulan sejak permulaan pandemik Covid-19 di negara ini.
“Kalau kita lihat kelesuan mental dan fizikal bukan di lapangan bahkan di KKM juga ada kelesuan dari segi mental dan fizikal kerana berperang tanpa henti selama 10 bulan.
“Setiap lapisan warga kerja KKM menjalankan tugas dengan sebaik mungkin dan mungkin ada yang mengalami tekanan tinggi.” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Noor Hisham berkata, keadaan itu menyebabkan dia sukar untuk melelapkan mata pada waktu malam kerana sering memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“KP (Ketua Pengarah Kesihatan) juga tidak boleh tidur kerana perlu fikirkan pelbagai cara untuk selesaikan masalah ini. Kadang-kadang terbangun pukul 3 atau 4 pagi.
“Kalau diberi rehat pun kami tidak boleh berehat kerana masih memikirkan masalah sama,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata rata-rata kakitangan KKM termasuk di Sabah masih dapat bertahan dalam peperangan melawan Covid-19 di negara ini.
“Menerusi sidang video bersama pakar-pakar di Sabah pagi tadi, saya dapat bertanyakan keadaan mereka dan rata-rata masih bersemangat tinggi,” katanya.
Beliau berkata, cara kerja penggiliran antara lain dapat membolehkan petugas-petugas kesihatan mendapat rehat sebelum mereka kembali bertugas. -K! ONLINE