KUALA SELANGOR – Nasib 100 nelayan di jeti Pawang Gapar, Jeram di sini terus dirundung malang apabila berdepan dengan pencemaran Sungai Buloh sejak 15 tahun lalu.
Pencemaran daripada sisa industri tersebut didakwa dilepaskan dari sebuah kilang yang terletak di Ijok di sini melalui saliran longkang yang terus ke sungai tersebut.
Hasil tinjauan Kosmo! semalam mendapati, air sungai tersebut menjadi hitam dengan mengeluarkan bau busuk yang boleh menyebabkan hidupan akuatik seperti ikan dan kerang mati.
Seorang nelayan, Kahar Buntal, 68, mendakwa perkara itu diajukan berulang kali kepada pihak berkuasa bagi menyelesaikan masalah membelenggu nelayan di situ.
Katanya, pencemaran ketara dilihat terutama ketika air surut dengan kelihatan tompokan hitam dan pencemaran.
Jelasnya, ketika air pasang ia akan mengambil masa beberapa jam dan pencemaran tetap ada.
“Jadi, tolong kami selesaikan masalah ini kerana nelayan di sini sudah letih berdepan pencemaran berulang kali ini sejak 15 tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Bagi seorang lagi nelayan, Toha Mohd. Amin, 60, sungai tersebut sebelum ini membekalkan hasil perikanan seperti ikan sembilang, bawal, senangin, belanak, ketam dan kerang tanpa perlu pergi ke laut lepas.
“Jika dahulu mampu meraih 200 kilogram (kg) udang sekarang hendak dapat sekilo pun sukar dan kadang-kadang hanya 12 ekor sahaja.
“Sungai ini pun rasanya sudah ‘mati’ dengan hasil perikanan kerana yang memenuhinya hanya memerang dan biawak sahaja,” ujarnya.
Pandangan senada turut dilontarkan Samsudin Zainal Abidin, 52, sekiranya berlaku pencemaran, nelayan hanya mampu termenung di jeti mengenang nasib mereka tanpa sebarang pembelaan sewajarnya.
“Sampai bila lagi kami harus tunggu masalah ini diselesaikan. Pendapatan kami bukannya tinggi dan hasil laut sahaja yang digunakan bagi menyara kehidupan keluarga,” katanya.
Sementara itu, sumber Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)ketika dihubungi Kosmo! memaklumkan, Sungai Buloh antara lokasi panas yang sering dipantau pihaknya dalam menangani isu pencemaran yang dikatakan kerap berulang.
“LUAS sendiri pantau dengan Majlis Daerah Kuala Selangor dan Jabatan Alam Sekitar Selangor dalam mengenal pasti punca pencemaran tersebut.
“Kes ini memang dalam tindakan dan dibincangkan dalam Mesyuarat Pelan Tindakan Sungai Buloh, LUAS,” katanya.