SEPANG – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengeluarkan arahan penutupan ke atas tiga lokasi pasar malam di sini ekoran kegagalan penganjur mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Tiga pasar malam berkenaan adalah Pasar Malam Taman Dengkil Jaya, Pasar Malam Kota Warisan dan Pasar Malam Desa Pinggiran Putra.
Yang Dipertua MPSepang, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, ketiga-tiga pasar malam tersebut dikesan gagal mendapatkan kawalan daripada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Katanya, MPSepang telah menjalankan operasi Pemantauan Pematuhan SOP di 15 pasar malam dan pasar pagi sekitar Sepang dari 17 hingga 25 Oktober lalu.
“Daripada jumlah itu, didapati jumlah pasar yang mematuhi SOP adalah sebanyak 12.
“Tiga pasar malam lagi diarah tutup kerana gagal mendapatkan kawalan daripada anggota Rela,” katanya pada Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Sepang yang diadakan secara maya hari ini.
Abd Hamid berkata, sepanjang tempoh pemantauan, 17 orang peniaga telah diambil tindakan kerana tidak mematuhi jadual penggiliran yang ditetapkan.
“Jumlah peniaga yang tidak mengikut giliran berniaga adalah seramai 17 orang membabitkan Pasar Pagi Salak (tujuh), Pasar Malam Taman Mas (tiga) dan masing-masing dua peniaga di Pasar Pagi Dengkil; Pasar Malam Dengkil dan Pasar Malam PP5D/2 (Ahad).
“Seorang lagi peniaga yang gagal berbuat demikian adalah di Pasar Malam Taman Murni. Kesemuanya telah diarah keluar serta merta dan arahan ini dipatuhi mereka,” katanya.
Abd. Hamid berkata, pemantauan akan diteruskan bagi memastikan perlaksanaan SOP dipatuhi sepenuhnya.
Pada masa sama, beliau berkata, pihak MPSepang mengharapkan agar pematuhan kendiri dapat dilaksanakan secara berterusan oleh peniaga.
“Susulan daripada peningkatan kes Covid-19 di beberapa negeri di Malaysia, Selangor tidak terkecuali daripada terjejas dan memberi kesan besar terhadap sektor ekonomi yang jika tidak ditangani segera akan memberi implikasi lebih buruk.
“Justeru, bagi peniaga pasar malam dan pasar pagi, mereka dibenarkan untuk menjalankan aktiviti perniagaan tetapi ikutlah SOP ditetapkan,” katanya.