PETALING JAYA – Seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dari Unit Cawangan Khas Bukit Aman ditahan susulan membuat kekecohan sebelum menyerang anggota polis dalam satu kejadian di sebuah kondominium di Damansara di sini hari ini.
Suspek berusia 29 tahun itu ditahan susulan pihak polis menerima aduan yang mendakwa suspek itu mengamuk secara tiba-tiba daripada pengawal keselamatan kondominium berkenaan pada pukul 2 pagi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil pemeriksaan pihak polis di lokasi kejadian mendapati suspek berada di bawah pengaruh alkohol.
“Dalam kejadian itu, suspek bertindak agresif dengan menendang, menumbuk serta menarik ves seorang anggota polis bertugas sehingga terkoyak.
“Selain itu, suspek juga mengeluarkan kata-kata kesat serta mengugut anggota polis dengan menyatakan bahawa dirinya boleh membuat anggota polis berkenaan ditukarkan serta merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, hasil pemeriksaan lanjut polis menemui satu peket lutsinar mengandung dadah jenis ganja yang disembunyikan dalam kasutnya.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod berkaitan kes dadah yang disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952
“Hasil ujian awal saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ganja,” ujarnya.
Tambah Nik Ezanee, suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.- K! ONLINE