Oleh MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK
KUANTAN – Seorang koordinator projek tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menghina dan membuat kenyataan lucah terhadap bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh pada dua tahun lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Azmi Ismail, 55, dituduh memuat naik kenyataan hina dan lucah menerusi akaun Facebook miliknya dengan niat mengaibkan Fuziah.
Dia dituduh memuat naik kenyataan tersebut menggunakan telefon bimbit jenis Vivo Y21 miliknya di Jalan Beserah di sini pada pukul 10.45 pagi, 23 Ogos 2018.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sejurus pertuduhan dibacakan, Timbalan Pendakwa Raya Muhd. Muhairi Mohamed Noh menawarkan ikat jamin RM10,000 terhadap tertuduh.
Peguam mewakili tertuduh, Datuk Zaharman Zainal Abidin bagaimanapun memohon mahkamah mempertimbangkan faktor usia serta keperluan Mohd. Azmi untuk menyara seorang isteri serta lima anaknya.
Selain itu, Zaharman turut memohon mahkamah mempertimbangkan nilai ikat jamin lebih rendah memandangkan terdapat peningkatan kes Covid-19 di penjara-penjara.
“Saya mohon sekiranya mahkamah membenarkan denda yang minimum agar isteri beliau boleh menjamin dan tidak dihantar ke penjara, sekali gus sebagai langkah pencegahan Covid-19,” katanya.
Mendengar rayuan tersebut, Hakim Siti Aminah Ghazali menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta 30 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE