PUTRAJAYA – Laman Facebook milik Presiden Perancis, Emmanuel Macron mula ‘diserang’ rakyat Malaysia susulan isu kontroversi penerbitan karikatur Nabi Muhammad oleh Charlie Hebdo.
Petang tadi, ‘tentera bawang’ Malaysia dilihat mula menyerang laman Facebook Macron sebagai reaksi terhadap kenyataan terbuka dibuat Presiden Perancis itu baru-baru ini yang seolah-olah menyokong tindakan akhbar berkenaan.
Tinjauan Kosmo! di laman Facebook Macron mendapati, rakyat Malaysia berkongsi frasa ‘Mak Kau Hijau’ pada ruangan komen pada setiap hantaran di Facebook berkenaan.
Salah seorang netizen, Mohammad Fairuz Jumain meletakkan komen ‘La hijau la mak kau’ pada ruangan komen di salah satu hantaran Macron di Facebook sebagai tanda protes dan kecewa.
Manakala, seorang lagi netizen, Ahmad Syakir Sazili turut berkongsi komen dalam perkataan Perancis, ‘Ta mère est verte’ yang juga bermaksud Mak Kau Hijau jika dialih ke bahasa Melayu.
Biarpun nampak kelakar dan mungkin frasa itu gagal difahami sendiri oleh Macron, namun sekurang-kurangnya rakyat Malaysia bersatu hati dan mencari platform tepat untuk meluahkan rasa kecewa terhadap penghinaan dibuat terhadap Islam.
Serangan berbentuk komen ‘Mak Kau Hijau’ di laman Facebook khususnya yang berpusat di luar negara bukan asing bagi netizen Malaysia.
Pada September lalu, tentera bawang Malaysia turut menyerang laman Facebook Freemansons dan laman Facebook ahli politik Taiwan, Li Zheng Hao pada April lalu.
Isu kontroversi penerbitan karikatur Nabi Muhammad oleh akhbar mingguan satira, Charlie Hebdo mendapat kecaman umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Malah, ia diburukkan lagi dengan kenyataan terbuka Macron yang mempertahankan tindakan akhbar berkenaan menyiarkan karikatur itu sekali gus dikatakan menghina Islam.
Sebelum ini, Kementerian Luar dalam kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menerbitkan karikatur itu dan ia seolah-olah tidak menghormati agama Islam serta lebih dua bilion umat Islam di seluruh dunia.
Pada masa sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut mengutuskan surat khusus kepada Duta Perancis di Malaysia dan menyatakan kekesalan terhadap isu berkenaan.
Terbaharu, Kementerian Luar telah memanggil Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Perancis di Kuala Lumpur bagi menyatakan kegusaran Malaysia terhadap peningkatan ketegangan, ucapan berunsur kebencian dan fitnah terhadap Islam berkait isu berkenaan. -K! ONLINE