PUTRAJAYA – Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Perancis di Kuala Lumpur dipanggil ke Kementerian Luar di sini bagi menyatakan kegusaran Malaysia terhadap peningkatan ketegangan, ucapan berunsur kebencian dan fitnah terhadap Islam.
Dalam kenyataan akhbar hari ini, Kementerian Luar berkata, Malaysia berpendapat bahawa ketegangan tersebut tidak akan membolehkan kehidupan bersama secara aman dengan semua agama.
Menurutnya, ketika pertemuan itu, kementerian mengulangi pendirian Malaysia yang mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan retorik dan provokatif yang mencemarkan nama baik agama Islam, sebagaimana yang telah disaksikan oleh dunia baru-baru ini dalam bentuk penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad S.A.W.
“Malaysia komited untuk menegakkan kebebasan bersuara dan ekspresi sebagai hak asasi manusia selagi mana hak-hak ini dilaksanakan dengan penuh hormat dan bertanggungjawab agar tidak berlawanan dan melanggar hak mereka yang lain.
“Malaysia juga menekankan kepentingan inisiatif untuk mengurangkan dan menghapuskan Islamofobia di semua peringkat.
“Dalam hal ini, Malaysia akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi meningkatkan rasa saling menghormati diantara agama dan mencegah ekstremisme agama,” katanya di sini hari ini.
Isu kontroversi penerbitan karikatur Nabi Muhammad oleh akhbar mingguan satira, Charlie Hebdo mendapat kecaman umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Malah, ia diburukkan lagi dengan kenyataan terbuka Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang mempertahankan hak menyiarkan karikatur itu. -K! ONLINE