fbpx

Kempen boikot produk Perancis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kombinasi Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan (kiri) dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron. – AFP

ANKARA – Presiden Turki, ­Recep Tayyip Erdogan menyertai gesaan untuk memboikot barangan Perancis kelmarin sekali gus meningkatkan konfrontasi antara Paris dan negara-negara Muslim mengenai agama Islam dan kebebasan bersuara.

Erdogan mengetuai kecaman terhadap Emmanuel ­Macron selepas Presiden Perancis itu mempertahankan hak untuk mengejek agama Islam susulan pembunuhan seorang guru sekolah Perancis yang telah me­nunjukkan kartun Nabi Muhammad kepada pelajar di kelasnya.

Kelmarin, pemimpin Turki itu menyertai dunia Arab menggesa supaya orang Islam menolak produk Perancis.

“Jangan sesekali memuji barangan Perancis, jangan membelinya,” kata Erdogan.

Produk Perancis telah dikeluarkan daripada rak pasar-pasar raya di negara Teluk termasuk Qatar, manakala di Syria, orang ramai bertindak membakar gambar Macron.

Dalam pada itu, persekutuan majikan terbesar di Perancis kelmarin menggesa syarikat-syarikat tempatan agar tidak tunduk kepada ugutan pemulauan tersebut.

Pembunuhan guru sekolah menengah, Samuel Paty oleh seorang lelaki bangsa Chechen pada 6 Oktober lalu menyebabkan kejutan yang mendalam di Perancis.

Paty telah menunjukkan kepada murid-muridnya beberapa kartun menghina Nabi Muhammad.

Pada tahun 2015, seramai 12 orang dibunuh di pejabat majalah satira Charlie Hebdo kerana menyiarkan kartun biadab itu.

Bagaimanapun, Macron pada minggu ini, mempertahankan perbuatan tersebut.

“Kami sentiasa berada di pihak yang mengutamakan maruah manusia dan nilai sejagat,” katanya.

Pendirian Macron bukan sahaja dikecam oleh Turki, malah, negara Islam lain termasuk Pakis­tan, Iraq dan Maghribi.

Di Baghdad, penunjuk pe­rasaan berhimpun di luar Kedutaan Perancis bersama seorang ulama bagi menuntut permohonan maaf daripada pemimpin Perancis itu.

Lebih banyak tunjuk perasaan serupa dirancang di ibu kota Jordan, Amman. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI