fbpx

Kain terlondeh dikejar AADK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUSPEK yang memakai kain pelekat diberkas dalam serbuan di rumahnya di Merbok, Sungai Petani kelmarin.

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki dipercayai penagih dadah melarikan diri dalam keadaan berbogel selepas kain pelekatnya tertanggal dalam Ops Cegah di rumahnya di Merbok di sini kelmarin.

Dalam operasi pada pukul 10.15 malam itu, suspek yang berusia 46 tahun yang terkejut melihat kehadiran pihak berkuasa cuba melarikan diri ke bahagian belakang rumah menuju ke kawasan semak.

Bagaimanapun, cubaan lelaki itu tidak berhasil apabila dia dapat diberkas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Pegawai AADK Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, ketika serbuan, kain pelekat yang dipakai suspek terlondeh ketika dia cuba melarikan diri dalam keadaan gelap.

“Anggota penguat kuasa mengepung kawasan rumah itu dan menahan suspek,” katanya di sini semalam.

Menurut beliau, suspek adalah antara 15 individu dipercayai penagih dadah jenis syabu dan ganja yang ditahan dalam serbuan di 10 kawasan di daerah itu dalam operasi selama 14 jam bermula pukul 9 pagi kelmarin.

Mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 60 tahun.

Di Bachok, Kelantan, AADK menahan seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan berusia 41 tahun semasa khayal pil kuda di sebuah rumah di Kampung Kandis kelmarin.

Lelaki itu adalah seorang daripada tujuh penagih yang dicekup semasa serbuan dari rumah ke rumah di sekitar daerah itu sejak pukul 10 pagi hingga 7 malam.

Ujian air kencing mendapati, suspek bersama dua jirannya positif dadah.

Siasatan mendapati, OKU itu berjinak-jinak dengan dadah sejak dua tahun lalu selepas disisih­kan keluarga kerana tiada pekerjaan tetap.

Lelaki itu tinggal bersama ibu saudaranya. Sebelum ini suspek bekerja di Pulau Pinang. Saraf matanya pula rosak selepas terlibat kemalangan pada 2016.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI