MANCHESTER – Pemain tengah Manchester United, Scott McTominay menggesa rakan-rakan sepasukan untuk mencatat kemenangan ke atas RB Leipzig pada aksi Liga Juara-Juara di Old Trafford awal pagi esok.
Justeru, mereka perlu menampilkan aksi sama seperti ketika menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 2-1 pada perlawanan yang berlangsung minggu lalu.
McTominay berharap United boleh mengekalkan rentak kemenangan bagi memastikan mereka berpeluang cerah untuk melangkah ke peringkat kalah mati.
“Kemenangan ke atas PSG sebelum ini satu pencapaian yang sangat hebat untuk semua pemain serta menambah keyakinan kami pada setiap minggu. Ia sesuatu yang baik untuk pasukan.
“Kami sudah jalankan tugas dengan sangat baik ketika bertemu PSG sebelum ini, jadi rugi sekiranya kami tidak catat kemenangan ke atas Leipzig di laman sendiri,” kata McTominay.
Pemain antarabangsa Scotland itu percaya Leipzig mampu memberi kejutan kepada skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu sekiranya mereka memandang rendah keupayaan lawan.
“Kami tahu mereka mampu memberi ancaman kepada United. Leipzig adalah sebuah pasukan yang hebat serta dibarisi oleh pemain-pemain serta jurulatih terbaik,” ujarnya. – AGENSI