“SAYA mula mempelajari kesenian menora ketika berumur 19 tahun, yakni sekitar tahun 1999. Ketika itu, saya telah pun tamat sekolah menengah.
“Memandangkan bapa saya juga seorang tokoh menora terkenal, eloklah fikir saya sekiranya ilmunya diturunkan pula kepada saya,” ujar Amnuai Eler kepada K2.
Anak kelahiran Kampung Bukit Yong, Pasir Puteh, Kelantan itu merupakan antara pewaris kesenian yang masih aktif memperjuangkan menora yang merupakan salah satu seni persembahan tradisional di Malaysia yang berasal dari selatan Thailand.
Menora melalui zaman kemuncak popularitinya pada 1960-an dan 1970-an terutamanya di negeri Cik Siti Wan Kembang.
Amnuai yang kini berumur 40 tahun, antara tokoh seni menora yang telah mencapai tahap khrop sert. Istilah khrop sert merujuk kepada ritual pengiktirafan seseorang sebagai Tuk Menora sejati, iaitu satu pencapaian tertinggi dalam kesenian itu. Tuk Menora ialah pemegang peranan utama dalam persembahan menora.
Amnuai berkata, dia mempelajari selok-belok tarian menora daripada bapanya, Eler Cha Perat diikuti beberapa tokoh kesenian menora di serata Kelantan untuk mempelajari pelbagai aspek keseniannya sekali gus menzahirkan keiltizaman untuk menyambung tradisi masyarakat Siam itu.
Tambahnya, dia mula ke pentas menora bermula tahun 2002. Sejak itu dia telah melakukan persembahan di merata-rata tempat.
Akan tetapi, kini timbul kegusaran di hatinya apabila melihat generasi baharu tidak menunjukkan minat lagi terhadap menora. Kesenian itu kini bagai dilupakan.
Sebenarnya terdapat pelbagai versi titik mula kemunculan kesenian menora. Banyak pendapat mengatakan kesenian ini bermula di selatan Thailand sejak ratusan tahun lampau.
Ini berdasarkan cerita-cerita lisan bahawa Puteri Mae Sri Mala mencipta tarian itu setelah diizinkan ayahandanya bermain-main di pantai. Tatkala ombak menghempas pantai dan bongkah-bongkah batu, sang puteri ini melompat ke sana ke mari untuk mengelak daripada ombak.
Mae Sri Mala tertarik dengan pergerakannya sendiri dan terpukau melihat alunan ombak lalu mencipta sejenis gerak tari yang kemudiannya dikenali sebagai menorah.
Gerak tari ini kemudian berkembang dengan meluasnya sehingga menjadi sangat popular.
Sasterawan dan pengamal kebudayaan menora, Prof. Dr. Lim Swee Tin berkata, kesenian menora telah menjadi sebahagian warisan masyarakat Siam yang sangat disayangi.
Sementara itu katanya, di peringkat nasional, menora merupakan sejenis kesenian suku kaum yang terangkum dalam kebudayaan kebangsaan.
“Menora ialah sejenis drama tari yang bersifat tradisional dan tiada skrip khas ditulis,” katanya.
Jelasnya, menora merupakan kesenian ‘buah hati’ masyarakat Siam.
Penempatan komuniti Siam di Malaysia meliputi Kelantan, sebahagian Terengganu selain Kedah, Perlis dan sebahagian Perak di utara.
Mereka menyanjung para penggiat sehingga ada yang menjadi semacam institusi pula dalam masyarakat.
Swee Tin berkata, tokoh-tokoh menora dipuja kerana disifatkan sebagai seniman hebat sehingga begitu disegani dan dirujuk dalam banyak perkara.
“Secara kebetulan, ada antara tokoh- tokoh ini yang berkebolehan mengubati penyakit, bahkan dalam kesenian menora sendiri ada proses pengubatan iaitu mengalihkan sael iaitu tanda pada wajah kepada bayi atau anak-anak kecil. Ada pula yang berkebolehan memulihkan seseorang yang lemah semangat atau dikatakan diganggu makhluk halus dan sebagainya,” ujarnya.
Ini menjadikan menora semakin diperlukan dalam masyarakat Siam.
Pada perayaan tertentu seperti Loi Kratong, menora menjadi antara persembahan yang ditunggu-tunggu.
Persembahan menora pernah popular dan penting dalam masyarakat Siam di negara ini sebagai wadah hiburan dan wacana nilai kehidupan.
“Persembahan menora menghidangkan kisah-kisah yang sarat dengan elemen moral serta pendidikan. Sekalipun secara kasarnya, menora hiburan yang begitu mengujakan dengan muzik meriah dan gemalai, gerak tarian santun serta kisah-kisah mendebarkan, menora berupaya mengikat masyarakat dalam satu rantaian kesenian dan budaya yang halus,” kata Swee Tin.
Jelasnya, pementasan menora ditunjangi Pho Sithong atau Tuk Menora sebagai watak utama, Nang atau dikenali juga sebagai inang dan Peran yang berkebolehan melawak selain menjadi pembantu kepada Pho Sithong serta beberapa watak antagonis.
Katanya, persembahan menora pada tradisinya dipersembahkan di bangsal-bangsal yang didirikan khusus sama ada di tengah-tengah bendang yang sudah kosong, di halaman rumah dan di kuil.
Persembahannya diiringi sekumpulan pemuzik dinamakan panjak, seramai lapan sehingga 12 orang.
“Antara peralatannya serunai, gendang, geduk, gong, canang dan sebagainya.
“Pho Sithong atau Tuk Menora memakai kostum bermanik yang berwarna-warni dengan sert atau kecopong di kepala,” katanya.
Terdapat dua segmen dalam persembahannya. Segmen pengenalan yang menyaksikan Pho Sithong akan turun ke laman istana bermain-main dengan Nang, mengalunkan puisi-puisi kemudian usik- mengusik. Nang selalunya berjumlah empat atau enam orang dan segmen itu tidaklah lama, sekitar 20 minit sahaja.
Setelah itu, bersambung segmen kedua iaitu sandiwara atau lakonan. Segmen ini agak panjang dan jika persembahan menora ditetapkan satu malam sahaja, ceritanya akan ditamatkan sejurus sebelum tengah malam.
Namun, persembahannya boleh disambung sehingga tiga atau tujuh malam bergantung kepada tuan rumah.
Dalam pada itu, Swee Tin berkata, bahasa Melayu dialek Kelantan digunakan hampir sepenuhnya dalam persembahan menora di Kelantan.
“Hal ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana ketika menora berada di zaman kemuncaknya pada tahun 1960-an dan 1970-an, penggiatnya terdiri daripada orang-orang Siam dan masyarakat Melayu sebenarnya terutama pemuzik yang mengiringi persembahan,” katanya.
Sungguhpun demikian, dengan pelbagai cabaran dan sekatan, menora dilihat suram akhir-akhir ini.
Menurutnya, kerajaan Kelantan misalnya masih menegah menora daripada dipersembahkan kepada umum secara terbuka.
Ini menjadikan kesenian ini kian lesu. Penggiat pula berjauh hati dan banyak kalangan tokoh menora juga telah meninggal dunia.
Dalam perkembangan mutakhir Swee Tin antara yang mengambil inisiatif menggerakkan semula kesenian ini. Beliau juga menghasilkan buku untuk menghangatkan penerimaan serta apresiasi masyarakat terhadap menora.
“Saya menzahirkan kekesalan masyarakat berketurunan Siam sendiri sudah ada yang tidak lagi mengenali kesenian ini khususnya generasi muda. Saya berusaha membawa semula ingatan masyarakat umum kepada kesenian yang pernah mengisi malam-malam yang indah di desa-desa pedalaman,” tegasnya.
Terkini, berbekal hasrat agar menora diterima dengan lebih meluas di peringkat nasional dan luar negara, Swee Tin sendiri melakukan persembahan kepada para pelancong.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Kelantan, Rosnan Rahman menjelaskan, pihaknya juga pernah mengadakan persembahan menora ketika berlangsung panggung seni tradisional di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu.
Tegasnya, dalam usaha memastikan seni warisan ini terus diwarisi pihaknya juga telah mengadakan program perantisan dengan melatih masyarakat Siam Kelantan dan artis kebudayaan di negeri itu secara tertutup sejak beberapa tahun lalu.
“Warisan ini akan pupus jika tidak diwarisi.
“Jika diizinkan program perantisan ini akan diteruskan lagi,” ujarnya.