SHAH ALAM – Dua pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan rasuah bernilai RM175,000 berhubung projek Kementerian Pertahanan, tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh, Penasihat Ketenteraan kepada Menteri Pertahanan, Jeneral Mohammed Feizol Anuar Ayob, 50, dan Ketua Cawangan Peperangan Siber Strategik Bahagian Staf Perisikan Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Kolonel Che Ahmad Idris, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali.
Mohammed Feizol didakwa atas dua pertuduhan meminta dan bersetuju menerima suapan RM150,000 daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn. Bhd., Elias Jemadi Tajudin.
Ia sebagai dorongan membantu menyerahkan surat niat menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaraan bagi peralatan perisikan sistem peperangan elektronik strategik (PRISMA) Direktorat Peperangan Informasi (DPI) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Kementerian Pertahanan pada 5 September 2018 daripada syarikat tersebut kepada Kementerian Pertahanan.
Perbuatan itu dilakukan di Hometown Hainan Coffee , Jalan Setia Dagang, Setia Alam pada September tahun lalu.
Sementara, Che Ahmad didakwa menerima suapan RM25,000 daripada individu sama sebagai balasan mencadangkan pelantikan syarikat tersebut secara runding terus untuk tujuan sama.
Kesalahan itu dilakukan di Kompleks Induk Stride, Taman Bukit Mewah, Kajang dekat sini pada 22 November tahun lalu.
Justeru, sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi dibawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad SPRM Asraf Mohamed Tahir dan Nurdihana Rosdi masing-masing menawarkan ikat jamin RM10,000 kepada Mohammed Feizol dan RM15,000 kepada Che Ahmad bersama seorang penjamin selain dikenakan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.
Bagaimanapun, Peguam Gooi Soon Seng mewakili Che Ahmad memohon jaminan dikurangkan berikutan tertuduh telah diikat jamin RM80,000 semalam manakala Mohammed Feizol diwakili Peguam Asmadi Hussin dan Azrul Zulkifli Stork bersetuju dengan jumlah jaminan ditetapkan.
Hakim membenarkan kesemua permohonan pendakwaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 30 November hadapan.
Kosmo! semalam melaporkan Mohammed Feizol dan Che Ahmad masing-masing didakwa lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur juga berhubung projek Kementerian Pertahanan, tahun lalu. – K! ONLINE