TANAH MERAH – Ketibaan musim tengkujuh pada setiap penghujung tahun menimbulkan keresahan dalam kalangan 50 petani tanaman jagung di Kampung Paloh di sini.
Ketua peneraju kelompok penanam jagung Kampung Paloh, Mat Zin Harun, 62, berkata, setiap kali tiba musim tengkujuh, penanaman jagung tidak dapat diteruskan sehingga menyebabkan pendapatan petani terjejas.
Katanya, sehubungan dengan itu, beliau berharap pihak kerajaan dapat membantu petani-petani yang bimbang selain dapat menjangkakan bahawa keadaan ekonomi mereka akan semakin berkurang nanti.
“Saya berharap akan ada bantuan insentif untuk musim tengkujuh bagi penanam jagung di sini seperti bantuan wang seperti yang diterima oleh nelayan, penoreh getah dan petani.
“Insentif seperti ini sekurang-kurangnya akan memberi kemudahan menyara kehidupan sementara mereka tidak boleh menanam bagi penanam jagung,” katanya.
Mat Zin berkata demikian kepada pemberita pada Program Lawatan Kerja Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi bersama kelompok penanam jagung Kampung Paloh di sini hari ini.
Tambahnya, insentif berbentuk baja dan benih juga akan membantu penanam jagung selepas musim tengkujuh untuk memulakan semula kerja-kerja penanaman.
Dalam pada itu, Che Abdullah berkata, pihak kerajaan akan sentiasa memberi bantuan kepada penanam jagung dalam usaha projek tanaman mereka.
Katanya, bantuan berbentuk baja dan lain-lain akan terus diberi bagi membantu petani yang menanam jagung selain berharap lebih ramai petani jagung menerima sijil Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) pada masa akan datang.
“Bagi bantuan insentif sara diri kepada penanam jagung, perkara ini akan diketengahkan agar dapat memberi bantuan kepada kelompok penanam jagung di sini.
“Bagi aspek pemasaran jagung, kita akan meminta bantuan daripada Jabatan Pertanian Negeri agar tanaman mereka akan terus dipasarkan,” katanya. -K! ONLINE