DUNGUN – Tiga sekolah merangkumi dua sekolah menengah dan sebuah sekolah rendah di Ketengah Jaya dekat sini diarah tutup serta-merta berikutan penularan Covid-19 dalam kalangan murid dan pelajarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan
dan Alam Sekitar Terengganu, Dr. Alias Razak berkata, sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kerteh 1, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketengah Jaya dan SMK Teja Putera.
“SK Kerteh 1 dan SMK Ketengah Jaya diarah tutup selama seminggu manakala SMK Teja Putera pula selama 14 hari.
“Penutupan itu disebabkan kes positif Covid-19 melibatkan murid dan pelajar ketiga-tiga sekolah berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Alias memberitahu, kesemua sekolah yang terjejas tersebut akan menjalani proses sanitasi sepanjang tempoh penutupan itu.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu pula menerusi kenyataannya memaklumkan sebanyak 11 kes baharu positif Covid-19 telah dicatatkan di mukim Rasau yang turut merangkumi Ketengah Jaya hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata,
situasi semasa pandemik Covid-19 di kawasan Ketengah Jaya masih terkawal dan masih dikategorikan sebagai zon Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Setakat perintah ‘lockdown’ (berkurung) tidak dilaksanakan di kawasan (Ketengah Jaya) tersebut.
“Saya minta masyarakat setempat tidak panik dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan terutama pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal,” katanya.
Kosmo! Online semalam melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Dungun, Anuar Awang
mengarahkan semua operasi pasar malam, aktiviti keramaian, kenduri-kendara dan program berskala besar di Ketengah Jaya ditangguhkan selama 14 hari sehingga 9 November depan.
Beliau yang juga Pegawai Daerah Dungun memberitahu, langkah itu bertujuan memutuskan rantaian pandemik Covid-19 yang sedang menular di daerah ini terutama di Ketengah Jaya. – K! ONLINE