Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
PORT DICKSON – Sebanyak 20 unit tukun tiruan kuboid ditempatkan di perairan Port Dickson semalam oleh Jabatan Perikanan Negeri Sembilan bagi meningkatkan sumber perikanan di perairan tersebut.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, tukun-tukun tiruan tersebut dilabuhkan kira-kira 3 batu nautika dari pantai Teluk Kemang yang turut bertujuan untuk merancakkan perikanan rekreasi di situ.
“Tahun lepas kami dah labuhkan 25 tukun di Kawasan Larangan Perikanan Tanjung Tuan, namun ia lebih kepada tukun untuk menggalakkan pertumbuhan karang, yang melibatkan peruntukan sebanyak RM300,000.
“Kali ini dengan peruntukan sebanyak RM250,000, kami labuhkan 20 unit tukun tiruan di luar pantai Teluk Kemang bagi tujuan perikanan rekreasi seperti memancing dan nelayan kail-mengail. Tukun tiruan ini mampu menjadi habitat baru yang baik untuk ikan dasar seperti jenahak, kerapu, dan sagai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Halimi lagi, pemilihan kawasan untuk menempatkan tukun tiruan itu juga hasil cadangan yang diberikan oleh para nelayan dan tekong-tekong memancing di Port Dickson.
“Apabila dapat peruntukan tersebut, kami cari kawasan tapak yang sesuai dengan mendapat kerjasama nelayan dan tekong-tekong memancing, mereka sendiri yang cadangkan, di mana yang sesuai mengikut pengalaman mereka yang lebih arif tentang perairan di sini.
“Lokasi tersebut dicadangkan kerana ia bukan kawasan nelayan melabuhkan pukat hanyut. Malah pasukan penyelidik kami juga sudah memeriksa tapak itu dan mendapati dasarnya berpasir dengan kedalaman sekitar 20 meter, yang memang sesuai untuk peletakan tukun tiruan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, jangkaan tempoh bilakah tukun tiruan itu dapat mula menarik kehadiran ikan memerlukan pengawasan lanjutan pihak Jabatan Perikanan.
“Pihak kami kena menyelam untuk melihat keberkesannnya dalam tempoh enam bulan dan setahun, termasuk menjalankan aktiviti menangkap ikan di situ. Namun secara logiknya, apabila sudah ada struktur, ikan pasti akan datang untuk berlindung, mencari makanan, membiak dan membesar, apabila ada anak-anak ikan datang berlindung di tukun, ia turut menarik ikan besar untuk datang.
“Bagi tukun di Tanjung Tuan pula, pihak kami belum dapat menyelam untuk melihat perkembangannya tahun ini akibat kekangan penularan Covid-19. Namun sebelum itu, kami sudah turun melihatnya dan sudah ‘menanam’ batu karang yang dipropagasi dari Pusat Ikan Hiasan kami pada tukun tiruan tersebut, kami berharapan tinggi agar karang itu semakin subur, termasuk kemunculan karang baru secara semulajadi,” katanya. – K! ONLINE