fbpx

UMNO tetap sokong PN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR- Teka-teki sokongan UMNO kepada Perikatan Nasional (PN) terjawab apabila parti itu memutuskan untuk menyokong kerajaan PN.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengekalkan keputusan kerjasama tanpa Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

“Ahli-Ahli Parlimen UMNO akan terus menyokong Kerajaan PN. UMNO menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai penghormatan dan konsensus politik,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat MT UMNO selama hampir empat jam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini tengah malam tadi.

Sebelum ini, desas-desus bertiup kencang mengenai penarikan sokongan UMNO kepada PN.

Parti itu turut menyarankan agar inisiatif Rekonsialiasi Nasional atau Agenda Perdamaian Nasional segera dilaksanakan dengan menggembleng penyertaan semua parti politik yang bernaung dalam kerajaan PN dan juga parti-parti pembangkang.

“Mencadangkan supaya kerajaan mengambil pendekatan inklusif melangkaui perbezaan ideologi parti dalam menangani pandemik Covid-19 dan kesan negatif ekonomi yang dihadapi rakyat” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO mendukung sepenuhnya titah dan saranan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja agar dikendurkan ketegangan politik dengan melakukan gencatan politik bagi memastikan kestabilan politik negara dapat terus dipertahankan.

UMNO turut menjunjung kasih keputusan Baginda menolak permohonan perlaksanaan darurat yang dipersembahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu lalu.

“Bagi UMNO, keputusan yang turut diperbincangkan dengan Majlis Raja-Raja tersebut adalah amat bijaksana dan cukup melegakan rakyat,” ujar beliau.

Parti itu turut memastikan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO untuk memperkasakan Muafakat Nasional dapat direalisasikan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI