BINTANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak masih dahagakan kejayaan meskipun sudah berjaya merangkul lapan gelaran Liga Super dengan tujuh kali berturut-turut bersama JDT sejak 2014, selain satu ketika mewakili Negeri Sembilan pada 2006.
Selain Liga Super, Aidil, 33, juga telah memenangi semua kejohanan domestik dengan empat Piala Malaysia, dua Piala FA, satu Liga Premier dan lima Piala Sumbangsih, selain satu gelaran antarabangsa iaitu Piala AFC bersama JDT lima tahun lalu.
Kini, bek tengah Harimau Malaya itu memburu satu lagi trofi idaman buat semua pemain Asia iaitu Liga Juara-Juara Asia (ACL) memandangkan JDT masih berbaki empat aksi Kumpulan G yang akan berlangsung di Doha, Qatar bagi zon Timur bermula 18 November ini.
“Saya tak tahu sampai bila saya akan bermain bola. Jadi, selagi saya mampu bermain, saya nak buat pencapaian dengan menang piala sebanyak yang boleh dalam setiap tahun.
“Dari segi prestij dalam bola sepak, ACL ialah peringkat tertinggi secara individu kerana realistiknya nak mencapai Piala Dunia memang jauh lagi. Malah, boleh dikatakan idaman semua pemain di Asia nak menang ACL.
“Bukan kata tak mahu Piala Malaysia tetapi saya tidak pernah menang lagi ACL. Jika diberi peluang, memang saya nak bermain dalam saingan ACL, apa-apa pun saya serahkan keputusan kepada pihak pengurusan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Selain Aidil, JDT mempunyai dua lagi pemain dengan tujuh gelaran Liga Super berturut-turut iaitu Mohamad Fadhli Mohd. Shas dan Mohd. Izham Tarmizi Roslan, manakala Mohd. Farizal Marlias, S. Kunanlan serta Hariss Harun telah memenangi Liga Super sebanyak enam kali.
Buat masa ini, nama Aidil masih belum pasti tersenarai menghadapi saingan ACL selepas jadual kejohanan itu bertembung dengan tarikh penganjuran Piala Malaysia dari 6 hingga 22 November ini.
Jika tersenarai ke ACL, Aidil berpeluang menentang gergasi China, Guangzhou Evergrande (19 November), Suwon Bluewings dari Korea Selatan (25 November), juara Jepun, Vissel Kobe (1 Disember) sebelum bertemu Evergrande sekali lagi pada 4 Disember depan.