Oleh ROHANA MOHD. NAWI
KOTA BHARU – Polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah terhadap mayat seorang lelaki yang ditemui terapung di Sungai Kelantan dekat Kampung Keseng di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, hasil bedah siasat terhadap mangsa yang berusia 40-an itu mendapati dia mati lemas selepas dipercayai terjatuh ke sungai.
Katanya, mangsa yang tinggal di Wakaf Mek Zainab di sini dipercayai dihanyutkan arus sungai sebelum ditemui oleh nelayan terbabit.
“Mangsa dipercayai sudah lemas dalam tempoh tiga atau empat hari kerana mayatnya sudah berbau.
“Kita meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi segera pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo di sini hari ini.
Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan Seorang nelayan terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki yang terapung sewaktu sedang mengangkat bubu ikan Sungai Kelantan dekat Kampung Keseng.
Saksi kejadian, Mohd. Zuhar Zaidi, 40, pada awalnya menyangka mayat itu merupakan sebuah tilam yang sedang terapung di permukaan sungai kira-kira pukul 9.30 pagi.
Katanya, selepas melihat seakan-akan tilam yang sedang terapung, dia memberanikan diri mendekati barangan itu dengan menaiki perahu sebelum melihat mayat seorang lelaki. – K! ONLINE