fbpx

Tebang pokok elak ketagih air ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NORLIDA AKMAR IDROS, WARTAWAN EKSEKUTIF

PADA bulan lalu, polis Perlis bersama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Jabatan Tanah dan Galian (JTG) menebang dan meracun pokok ketum di kawasan Felda Mata Ayer, Padang Besar.

Perlis yang merupakan salah sebuah negeri terkenal dengan tanaman ketumnya menjadi yang pertama melaksanakan operasi penebangan pokok tersebut.

Kerja-kerja menebang pokok ketum atau dikenali sebagai pokok biak di Felda berkenaan dibuat di bawah Akta Penempatan Berkelompok 1960.

Selepas ini, operasi sama akan diteruskan di dua lagi penempatan Felda di Perlis iaitu Felda Chuping dan Felda Rimba Mas melibatkan kira-kira 2,000 pokok ketum.

Langkah yang diambil pihak berkuasa di Perlis itu patut mendapat pujian kerana sekurang-kurangnya ada tindakan dilakukan dalam membendung masalah ketagihan air ketum dalam kalangan penduduk.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, impak daripada operasi itu dapat dilihat apabila jumlah rampasan ketum menurun sehingga 50 peratus sejak awal hingga pertengahan bulan ini berbanding tempoh sama pada bulan sebelumnya.

“Kita akan meneruskan operasi ini dengan kerjasama Felda dan JTG di Felda Chuping dan Rimba Mas pula,” katanya baru-baru ini.

Selain Perlis, negeri jirannya Kedah juga berdepan masalah sama iaitu penanaman pokok ketum termasuk di halaman rumah selain di sawah dan ladang getah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ha­sanuddin Hassan berkata, pihak­nya bersedia berbincang dengan Felda untuk melakukan operasi sama di negeri itu.

Hasanuddin pada masa sama akan mengemukakan syor kepada kerajaan negeri supaya melarang penanaman pokok ketum di tanah milik penduduk dengan melihat kesesuaian tindakan yang boleh diambil mengikut undang-undang tanah negeri dan Kanun Tanah Negara.

Dalam pada itu, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Daerah Kota Setar, Dr. Zaki Zamani Abd. Rashid berkata, pengharaman penanaman pokok ketum yang dilakukan secara berleluasa dan tidak terka­wal perlu dilakukan segera.

“Selain banyak memberi kesan buruk, pengharaman ketum dilihat dapat mengawal aktiviti penanaman dan penggunaan daripada menjadi tidak terkawal.

“Ia kerana, ketum murah dan mudah didapati,” katanya.

Tambahnya, kerajaan perlu bertindak segera kerana isu ke­tagihan ketum semakin membarah dalam komuniti terutama di kawasan perkampungan.

“Pengambilan ketum dalam kalangan masyarakat pada ketika ini bukanlah atas tujuan perubatan yang belum dibuktikan secara saintifik, tetapi lebih kepada rekreasi sehingga mengakibatkan ketagihan,” katanya.

Ketagihan ketum dalam komuniti terutama pelajar sekolah perlu dibendung kerana ia memberi kesan buruk kepada psikososial peminum tumbuhan tersebut.

Kesannya sangat menakutkan apabila penagih dikesan akan sentiasa bereksperimen terhadap campuran air ketum terma­suk mencampurkannya dengan bahan lain.

Biasa yang kita dengar campuran air ketum dengan ubat batuk serta minuman berkarbonat atau dikenali sebagai ‘cakoroi’.

Perkara itu terbongkar selepas kajian yang dilakukan Universiti Utara Malaysia mendedahkan bahawa ada penagih mencampurkan air ketum dengan pil pe­rancang atau ubat tahan sakit bagi mendapatkan kesan yang lebih khayal.

Penebangan pokok ketum ialah penyelesaian kepada masalah ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI