fbpx

Projek Kementerian Pertahanan, pegawai tinggi ATM didakwa rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang tertuduh yang juga Pesara ATM, Leftenan Jeneral Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan ,59,(tengah ) keluar dari Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didakwa rasuah berhubung projek Kementerian Pertahanan tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Dua pegawai tinggi dan seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 17 pertuduhan meminta, menyetujui dan menerima rasuah berhubung projek di Kementerian Pertahanan tahun lalu.

Ketiga-tiga tertuduh iaitu Kolonel Che Ahmad Idris, 54, Brigedier Jeneral Mohammed Feizol Anuar Ayob, 50, dan pesara ATM, Leftenan Jeneral Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan, 59, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Bagi tertuduh Che Ahmad, dia didakwa atas lima pertuduhan iaitu satu pertuduhan meminta suapan RM500,000, satu pertuduhan setuju terima suapan RM500,000 dan tiga pertuduhan  menerima suapan RM105,000 daripada Elias Jemadi Tajudin iaitu Pengarah FEHM Entity.

Wang itu adalah untuk tertuduh sebagai Ketua Cawangan Peperangan Siber Strategik, Bahagian Staf Perisikan Kementerian Pertahanan Malaysia mencadangkan pelantikan syarikat itu dilantik secara rundingan terus bagi perkhidmatan senggaraan untuk bahagian staf perisikan pertahanan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Perumahan Tun Osman Jewa, Kementerian Pertahanan, antara September 2019 hingga 7 April tahun ini.

Tertuduh Mohammed Feizol pula didakwa atas lima pertuduhan iaitu menerima rasuah berjumlah RM128,000 daripada Elias Jemadi melalui Nurin Nazwa Elias yang merupakan Penolong Pengurus dan Hishamuddin Johari selaku Pengarah Eksekutif syarikat berkenaan.

Wang itu diterima sebagai dorongan iaitu tertuduh sebagai penasihat ketenteraan kepada Menteri Pertahanan, Kementerian Pertahanan Malaysia (ketika kejadian) untuk membantu menyerahkan Surat  Niat untuk menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaraan bagi peralatan perisikan Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP), Kementerian Pertahanan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan tempat parkir Masjid Khalid Al-Walid MINDEF, Jalan Padang Tembak Kampung Datuk Keramat, Taman Sri Hartamas, pejabat Syarikat FEHM Entity Sdn. Bhd., Jalan Wangsa Maju dan Bukit Melawati di sini antara 30 Oktober 2019 hingga 24 Jun tahun ini.

Sementara tertuduh Sheikh Mokhsin didakwa enam petuduhan iaitu iaitu satu pertuduhan meminta RM1 juta, satu pertuduhan bersetuju menerima RM1 juta dan empat tuduhan menerima RM266,000 daripada individu sama sebagai dorongan untuk tertuduh yang ketika itu sebagai Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan, Kementerian Pertahanan Malaysia (ketika kejadian) untuk meluluskan cadangan syarikat sama dilantik secara rundingan terus bagi perkhidmatan sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Havana Club Concorde, Wisma Concorde, Jalan Sultan Ismail, Pejabat Ketua Pengarah Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak dan Jalan Dutamas di sini antara 20 Jun 2019 hingga 5 Jun tahun ini.

Dalam pada itu, Sheikh Mokhsin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan sama menerima rasuah berjumlah RM50,000 daripada Syed Omar Syed Mohamad sebagai upah untuk diri tertuduh sebagai jawatan sama yang telah melantik Syarikat Malvus Sense Sdn. Bhd. melaksanakan perolehan, pembekalan, penghantaran, latihan dan pertauliahan 2 Sistem Khas yang dilakukan  pada 26 Jun lalu di pejabat Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Kementerian Pertahanan.

Bagi kesemua kesalahan itu ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seskyen 24(1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, Nik Isfahanie Tasnim Wan Abd Rahman masing-masing menawarkan jaminan RM100,000 terhadap ketiga- tiga tertuduh bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria menawarkan ikat jamin RM20,000 bagi satu pertuduhan tambahan terhadap Sheikh Mokhsin.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh dalam rayuan masing-masing menerusi peguam Gooi Soon Seng, Azrul Zulfikli Stork dan Datuk Mohd Shahrom Mohamad serta P.G Cyril memohon dibenarkan jaminan rendah dengan alasan kesemua tertuduh mempunyai tanggungan isteri dan anak.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Sabariah membenarkan tertuduh Che Ahmad diikat jamin RM80,000, diikuti Mohammed Feizol RM60,000 dan Sheikh Mokhsin RM110,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu melapor diri di pejabat SPRM sekali sebulam dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh 27 November ini ditetapkan sebutan semula kes dan serahan dokumen. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI