KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat empat akaun laman sosial melibatkan Facebook dan Twitter kerana telah memuat naik hantaran yang mempunyai kecenderungan menghasut terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan tersebut sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.
Katanya, akaun pertama yang sedang disiasat adalah melibatkan hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Facebook Ronnie Liu Tian Khiew.
“Satu siasatan telah dijalankan pada 21 Oktober lalu ke atas akaun Facebook terbabit kerana telah meninggalkan komen ‘Now In Bangkok, They Are Saying No To The King’.
“Akaun kedua yang sedang disiasat adalah melibatkan ciapan di Twitter milik Uncle Ireeve pada 25 Oktober lalu yang mempunyai unsur penghinaan terhadap YDPA,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Huzir, akaun ketiga yang disiasat adalah melibatkan ciapan di Twitter milik Liew Lip Nan kerana mempertikai satu video yang dimuat naik oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu.
“Pihak USJT juga sedang menyiasat Facebook milik Ho Ruey Treng kerana memuat naik kenyataan yang berunsur penghinaan kepada YDPA semalam,” jelasnya.
Menurut Huzir, sehingga semalam, seorang lelaki berusia 52 tahun sudah ditahan di Cheras dan pihaknya juga telah merampas peralatan yang digunakan untuk memuat naik kenyataan tular itu.
“Siasatan lanjut kini sedang dijalankan bagi mengesan suspek dan merakam keterangan saksi yang kompeten serta mendapatkan keterangan dokumen.
“Kesemua pemilik akuan Facebook dan Twitter yang telah dikenal pasti diminta tampil menyerah diri di USJT Bukit Aman dan sekiranya ingkar kita akan mengesan dan menangkap mereka yang terlibat,” tegasnya.
Keempat-empat kes akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – K! ONLINE