fbpx

PM bertugas seperti biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat MPFN ke-36 dan Sidang Khas MKN menerusi sidang video di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertugas seperti biasa hari ini selepas kedudukan beliau sebagai ketua kerajaan menjadi bahan spekulasi media, semalam.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi, Perdana Menteri dilaporkan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-36 pada sebelah pagi.

Programmya diikuti dengan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan taklimat Bajet 2021 di sebelah petang.

“Kedua-dua mesyuarat dan taklimat seperti biasa diadakan mengikut norma baharu menerusi sidang video dari Pejabat Perdana Menteri,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, mesyuarat MKN hari ini membincangkan tindakan seterusnya bagi mengawal dan menguruskan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri memperingatkan ahli mesyuarat dan agensi supaya memberi komitmen penuh ke atas kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi memastikan penduduk terlibat mendapat bantuan barang keperluan yang mencukupi.

Beliau turut mengarahkan agar dipertingkatkan kawalan serta keupayaan tindakan kesihatan awam di Sabah bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 dengan segera.

Pada mesyuarat MPFN pula, Perdana Menteri menggesa semua pihak yang terlibat supaya memudah cara perancangan dan pembinaan infrastruktur digital terutama di peringkat negeri dan kerajaan tempatan.

“Ini bagi memastikan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi disediakan kepada rakyat.

“Ini kerana, pandemik Covid-19 menyaksikan kebergantungan yang tinggi kepada liputan jalur lebar berkualiti tinggi,” katanya.

Sementara itu, kenyataan itu berkata, Perdana Menteri menerima panggilan telefon daripada Presiden Turkmenistan, TYT Gurbanguly Berdumuhamedov sebelum beliau pulang dari pejabat.

“Beliau berbincang mengenai kerjasama dua hala yang telah terjalin sejak 28 tahun lepas.

“Petronas telah bertapak di negara itu sejak 1996 dan merupakan pelabur terbesar dengan jumlah pelaburan mencecah AS$11 bilion,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri menyambut baik jemputan Presiden Berdumuhamedov untuk melawat Turkmenistan.

Beliau turut menjemput Presiden Berdumuhamedov untuk melawat Malaysia setelah situasi Covid-19 pulih.

Semalam, pelbagai spekulasi timbul berhubung kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri berikutan daripada keputusan Istana Negara menolak cadangan pengisytiharan darurat yang di kemukakan oleh kerajaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI