fbpx

Pilihan raya tanpa rentas negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan supaya sebarang pilihan raya tidak dijalankan dalam masa terdekat bagi mengurangkan penularan jangkitan kes Covid-19 di dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun sekiranya tidak dapat dielakkan, KKM mengesyorkan supaya tiga larangan yang perlu dilaksanakan dalam menjalankan pilihan raya.

“Tidak boleh rentas negeri, daerah dan tidak boleh balik kampung, tiada perhimpunan beramai-ramai selain tiada kunjungan ke rumah.

“KKM syorkan supaya pilihan raya tidak dijalankan bagaimanapun, jika perlu juga pilihan raya, kita perlu melihat kepada perkara tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, SPR menetapkan 5 Disember depan sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.185 Batu Sapi, Sabah.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 23 November ini manakala, tarikh undi awal pada 1 Disember ini.

Abdul Ghani turut dipetik berkata, SPR menasihati mana-mana pihak supaya tidak melaksanakan sebarang pilihan raya negeri termasuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat susulan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 230 kluster Covid-19 dilaporkan sejak pandemik itu melanda negara dan sebanyak 62 kluster atau 30 peratus berkaitan tempat kerja.

Katanya, sehingga semalam, sebanyak 37 kluster berkaitan tempat kerja yang masih aktif termasuk dua kluster baharu diumumkan semalam.

“KKM amat berterima kasih dan menyampaikan penghargaan kepada majikan dan syarikat swasta dalam bersama membantu mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan warga kerja.

“Tindakan proaktif majikan yang turut sama menjalankan saringan terhadap pekerja membolehkan pengesanan kes positif tidak bergejala dalam kalangan warga kerja dan seterusnya membantu KKM menjalankan aktiviti kesihatan awam dengan segera,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI