fbpx

Peniaga rugi akibat mesej palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUSAT Komuniti Kempas di Johor Bahru lengang akibat mesej palsu yang mendakwa Kempas diisytiharkan sebagai zon merah.

JOHOR BAHRU – Para peniaga di sekitar Kempas di sini resah apabila premis perniagaan yang diusahakan mereka tidak mendapat sambutan gara-gara tersebar maklumat palsu berhubung kes Covid-19.

Perniagaan mereka terjejas sejak Sabtu lalu ekoran mesej di aplikasi WhatsApp yang mendakwa kawasan Kempas  diisytiharkan zon merah sekali gus menimbulkan kegelisahan orang ramai yang bimbang akan dijangkiti pandemik Covid-19.

Peniaga gerai makanan, Mohamad Yunan Abdullah, 57, berkata, akibat berita tular itu, pendapatannya merosot 30 peratus gara-gara orang ramai bimbang untuk membeli di gerainya di Pusat Komuniti Kempas.

“Selalunya pada waktu tengah hari, kedai saya ramai pelanggan tetapi pada kelmarin dan semalam kurang dan tidak seperti biasa.

“Bila saya tanya mengapa pelanggan kurang, mereka sebenarnya bimbang untuk datang setelah membaca berita tular itu walaupun ia belum lagi disahkan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Banun Mohamad, 58, pula, dia bimbang jika keadaan itu berlarutan dan boleh memberi kesan kepada pendapatannya dalam masa terdekat.

“Kalau sehari pun nak dapat pulangan modal susah, kalau berterusan macam mana nak bayar kos operasi dan berkemungkinan memberi kesan kepada pendapatan kami para peniaga di sini.

“Nasib baiklah kami dapat pengecualian sewa tapak gerai selama setahun seperti diumumkan kerajaan negeri sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, berita tular tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada peniaga, malah terhadap pembelajaran Sekolah Agama Kempas apabila mesej tersebut mendakwa seorang guru dan empat murid disahkan positif Covid-19.

Guru Besar Sekolah Agama Kempas, Ropinah Yahya berkata, beliau menafikan bahawa terdapat warga sekolahnya telah disahkan positif Covid-19 dan sehingga kini tiada mana-mana ibu bapa atau penjaga menghidap ­virus tersebut.

“Saya amat sedih setelah membaca mesej itu sedangkan ia tidak benar dan pihak menyebarkan berita palsu ini disifatkan berdosa besar.

“Bukan sahaja memberi kesan kepada kami, malah ibu bapa atau penjaga juga agak cemas kerana bimbang dengan keselamatan anak masing-masing selepas menerima mesej palsu itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI