KUALA LUMPUR – Seramai 34 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam pertukaran yang berkuat kuasa 20 November depan.
Mendahului senarai adalah Ketua Polis Melaka Datuk Mat Kasim Karim akan bertukar jawatan dengan Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali.
Turut bertukar jawatan adalah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar M.M. Sree dilantik sebagai Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang baharu menggantikan Datuk Mohd. Roze Shaari.
Mohd. Roze pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah yang baharu berkuat kuasa pada tarikh tersebut.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara, Datuk Asmawati Ahmad berkata, Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Khas), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh, pula bertukar ke Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak.
Katanya, tempat Fisol akan diisi oleh Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd. Ariff.
“Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali akan bertukar sebagai Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.
“Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Azmi Abu Kassim pula bakal mengisi jawatan Kasuahdi,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Asmawati, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Denis Leong Soon Kai dilantik sebagai Timbalan Pengarah Narkotik (Penguatkuasaan/Pencegahan/Kepolisan Am) JSJ Narkotik Bukit Aman.
“Timbalan Pengarah Narkotik (Penguatkuasaan/Pecegahan/Kepolisan Am) SAC Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali pula akan menyandang jawatan sebagai Ketua JSJ Sarawak,” katanya. – K! ONLINE