PENYERANG skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha berjaya memainkan peranan membantu pasukannya, BG Pathum United mencatat kemenangan 3-2 ke atas Sukhotai FC pada aksi Liga Thailand di Stadium Thung Thalay Luang kelmarin.
Norshahrul yang lebih dikenali sebagai Mat Yo, masuk menggantikan Siroch Chattong pada minit ke-78 sekali gus kembali mendapat minit permainan selepas dua perlawanan sebelum ini berada di bangku simpanan.
“Syukur Alhamdulillah… tiga mata ini amat penting. Terus berjuang, kami adalah keluarga BGPU (BG Pathum United),” kata Norshahrul yang dipetik daripada laman sosial Instagram peribadinya.
Ia adalah perlawanan keempat Norshahrul, 34, bersama BG Pathum dalam saingan Liga Thailand musim ini selepas dia bermain tiga aksi menentang Muangthong United pada 15 Februari lalu, PT Prachuap (22 Februari) dan Rayong (3 Oktober).
Walaupun tidak menjaringkan gol tetapi sekurang-kurangnya kehadiran Norshahrul berjaya membantu BG Pathum meraih kemenangan hasil gol-gol daripada Sumanya Purisai seawal minit pertama, jaringan sendiri pemain Sukhotai, Satsanapong Wattayuchutikul (m-12) dan Chattong (m-57).
Sukhotai pula terpaksa akur dengan kekalahan itu walaupun meraih dua jaringan melalui Ibson Melo dan John Baggio masing-masing pada minit ke-32 serta 87.
Lebih menarik, kemenangan itu menyaksikan BG Pathum kini mendahului carta Liga Thailand dengan 26 mata selepas 10 perlawanan.
Sementara itu, dua lagi pemain kebangsaan iaitu Dominic Tan dan Mohamadou Sumareh tidak diturunkan beraksi bersama kelab mereka, Police Tero ketika tewas 1-3 kepada Muanthong dalam satu lagi aksi Liga Thailand berlangsung di Stadium Boonyachinda kelmarin.