fbpx

K2

Meraut buluh meniti usia senja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGKLUNG yang dihasilkan Tumian mendapat sambutan memberangsangkan apabila tempahan diterima dari seluruh negara.

ANGKLUNG adalah alat muzik yang berasal dari masyarakat Sunda, Jawa Barat, Indonesia. Mengikut sejarah, instrumen itu dicipta sebagai muzik yang dipersembahkan buat Dewi Sri iaitu dewi bercucuk tanam sekitar abad kesembilan.

Masyarakat Sunda percaya, Dewi Sri mempunyai kuasa untuk memberi rezeki kepada petani dan mereka perlu memuja dengan pelbagai cara termasuklah bermain angklung.

Kemudian, permainan alat muzik angklung telah berkembang ke negara Asia Tenggara termasuklah Malaysia, Thailand dan Singapura.

Di Malaysia, angklung mula berkembang sekitar tahun 1922 apabila perantau dari Ponorogo, Jawa Timur mempersembahkan tarian Barongan yang mana angklung salah satu alat muzik mengiringi tarian tradisional masyarakat Jawa itu.

Angklung diperbuat daripada buluh yang dikategorikan sebagai idiofon. Idiofon adalah kategori muzik yang terhasil daripada getaran.

Lazimnya, angklung terdiri daripada dua hingga empat tiub yang diikat pada rangka dikenali sebagai ancak.

 

TUMIAN meraut buluh dengan penuh teliti kerana bunyi angklung yang tepat turut bergantung ketepatan rautan.

 

Ramai dalam kalangan kita mungkin tidak tahu bagaimana proses untuk menghasilkan angklung.

Bekas pesara Jabatan Belia dan Sukan negeri Johor, Tumian Muridan, 65, atau lebih mesra dipanggil Abang Joe adalah salah seorang pembuat angklung.

Menurutnya, untuk menghasilkan angklung berkualiti, pemilihan jenis buluh adalah kunci utama.

“Buluh terbaik digunakan untuk membuat angklung ialah jenis buluh hitam manis, semantan, buluh tali atau minyak kerana jenis ini tahan lasak dan tahan lama.

“Buluh itu mestilah buluh tua. Selepas dipilih dan dipotong, kita kena awet dengan menggunakan soda. Caranya dengan merendam buluh ini ke dalam soda selama seminggu.

“Selepas itu buluh dikeringkan di tempat yang redup antara empat hingga enam bulan bagi memastikan proses pengeringan sempurna,” katanya ketika ditemui di bengkel rumahnya yang terletak di Kampung Jaya Sepakat Baru, Batu 13, Skudai, Johor.

Tenang

Tumian berkata, setelah buluh yang diawet kering sempurna, bermulalah proses menghasilkan rangka angklung.

Jelasnya, buluh akan diraut mengikut saiz berbeza-beza bagi menghasilkan nada bunyi berlainan mengikut ton bunyi yang sesuai.

Semasa buluh diraut, Tumian akan menggunakan alat muzik keyboard mini yang ditiup menggunakan mulut sambil mencari nada bunyi yang sama ketika angklung digetarkan.

Tumian berkata, ketika menentukan bunyi, dia perlu berada dalam keadaan tenang kerana kemuncak penghasilan angklung adalah mencari bunyi yang tepat.

“Kalau bermain gitar, kita hanya perlu memusingkan tali gitar untuk menghasilkan bunyi atau key yang sedap didengar, tapi angklung setiap batang buluh mesti diraut dengan tepat bagi menghasilkan key yang betul.

“Setelah nada dapat dihasilkan, barulah kita pasang buluh bersama ancak tadi dan terhasillah angklung,” katanya.

 

TUMIAN memotong batang buluh di belakang kediamannya di Kampung Jaya Sepakat Baru, Skudai, Johor untuk dibuat angklung.

 

Menceritakan sejarah pembabitannya dalam dunia pembuatan angklung, Tumian berkata, semuanya bermula di awal usia 20-an apabila bapa angkatnya Allahyarham Margono Sitir bermain dan mengusahakan angklung di Batu Pahat sekitar tahun 1977. Dari situ minatnya kepada muzik tradisional angklung ini semakin mendalam sehingga turut mampu membuat alatan muzik itu.

Kongsi Tumian, dia pernah menyertai kumpulan angklung Maya Puspita pada tahun 1970-an sebagai konduktor muzik dan pernah bekerja di Taman Seni Budaya di Johor Bharu selama empat tahun.

Kini, bapa kepada tiga cahaya mata itu menghabiskan sisa usia senja dengan menghasilkan peralatan muzik tradisional angklung.

Angklungnya dijual bermula pada harga RM280 untuk satu set yang mengandungi lapan unit angklung, satu set yang mengandungi 28 unit berharga RM2,000, sementara satu set memiliki 37 unit angklung berharga RM4,000.

Tambahnya, angklung mempunyai peminatnya tersendiri dengan tempahan diterima bukan sahaja dari Johor, malah dari seluruh negara termasuk Selangor dan Kuala Lumpur.
Bukan sekadar membuat angklung, Tumian juga melakukan perkhidmatan membaiki angklung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI