PETALING JAYA – Semua mangsa insiden kapal Dayang Topaz iaitu seramai 187 kru termasuk satu mayat kini dalam perjalanan masuk ke Jeti Pelabuhan, Miri dan dijangka tiba pada pukul 1.30 tengah hari ini.
Pusat Koordinasi Penyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya berkata, semua mangsa dibawa oleh kapal-kapal yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat yang telah diaktifkan pada pukul 7 pagi tadi.
“MRCC Putrajaya juga mengesahkan dua mangsa mengalami kecederaan dan mangsa telah dipindahkan dari Platform Naga 2 untuk dibawa ke Pangkalan Udara Miri oleh helikopter milik Petronas bagi rawatan lanjut di Hospital Miri.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang terlibat merangkumi 185 kru warganegara Malaysia dan dua kru warga Indonesia iaitu kapten kapal dan ‘Chief Officer’ berumur antara 21 hingga 63 tahun,” katanya.
Menurutnya, Dayang Topaz yang disewa oleh pihak Petronas Carigali dilaporkan mengalami kerosakan ketika kejadian. Kapal tersebut akan diiring masuk ke Pelabuhan Miri.
“MRCC Putrajaya juga telah menyelaraskan keperluan pencegahan jangkitan Covid-19 yang akan diseliakan oleh Pejabat Zon Maritim Miri, manakala ujian saringan akan dilaksanakan oleh Petugas Kesihatan Miri,” katanya. – K! ONLINE