fbpx

Lembah Klang berkurung lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Se­langor dan Putrajaya yang sepatutnya tamat hari ini dilanjutkan selama 14 hari lagi.

Arahan tersebut melibatkan kira-kira 8.5 juta penduduk di Lembah Klang.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan membuat keputusan itu selepas mengambil kira penilaian risiko penula­ran Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Penilaian risiko oleh KKM mendapati masih terdapat lokasi berisiko tinggi penularan Co­vid-19 di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

“Mengambil kira risiko tersebut, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPB di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya mulai 27 Oktober sehingga 9 November.

“Prosedur operasi standard (SOP) PKPB adalah seperti yang pernah diumumkan sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju me­laksanakan PKPB di Nilai, Ne­geri Sembilan berkuat kuasa 28 Oktober sehingga 10 November berikutan peningkatan kes positif Covid-19 dalam kalangan warga asing di situ.

Bagaimanapun, kata beliau, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Putra Point Nilai disebabkan dua lokaliti asrama pekerja asrama di situ dikesan menyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19 iaitu di Jalan BBN 1/7B dan Jalan BBN 1/7F serta Jalan BBN 1/2E.

“PKPD di kawasan tersebut akan berkuat kuasa bermula 28 Oktober sehingga 10 November,” katanya.

Tambah beliau, PKPD akan turut dilaksanakan di Taman Mesra dan Taman Mawar di Sandakan, Sabah bermula 28 Oktober sehingga 10 November 2020 berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.

Jelas beliau, PKPD di kedua-dua lokaliti tu merangkumi 5,100 unit rumah yang melibatkan seramai 22,500 penduduk.

Kata beliau, PKPD di Taman Khazanah Indah dan Pangsapuri Mutiara Kasih, Lahad Datu serta Felda Umas, Kalabakan, Sabah dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 9 November.

“SOP PKPD adalah sama se­perti diumumkan sebelum ini, namun kedai runcit dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi sehingga 6 petang bagi memberi peluang kepada penduduk membeli barang keperluan asas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau me­ngingatkan individu di kawasan PKPB yang menyalahgunakan surat kebenaran bekerja untuk tujuan lain seperti bercuti atau berjalan-jalan pada hujung ming­gu boleh dikenakan tindakan tegas oleh pihak polis.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya, Dr. Rafidah Aga Mohd. Jaladin berkata, PKPB yang dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi dibimbangi memberi kesan terhadap tahap kesihatan fizikal dan mental murid sekolah di kawasan berkenaan.

“Kesan dalam aspek kesihatan fizikal ialah murid-murid menjadi kurang cergas dan kea­daan ini mudah menyebabkan kelesuan fizikal dan sakit mata kerana kekerapan menggunakan gajet dalam tempoh masa yang lama.

“Kelesuan, sakit belakang, sakit mata dan sakit kepala menjadi akibat khusus daripada pro­ses PdP (pengajaran dan pembe­lajaran) yang dijalankan secara dalam talian. Kesan sebegini juga dirasai oleh golongan ibu bapa yang bekerja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI