SEBERANG PERAI – Seorang anggota polis wanita berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah pada tahun 2016.
Tertuduh, S. Komaladevi, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara rasuah menyetujui menerima wang RM10,500 daripada Chuah Kooi Eng yang kononnya akan diberikan kepada pegawai penyiasat kes untuk melepaskan tiga orang pekerja yang memiliki sijil perakuan kerja sementara tidak sah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Mahkamah George Town dekat sini pada 24 Ogos 2016 kira-kira pukul 8.30 pagi.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima wang sebanyak RM6,000 daripada Kooi Eng di Kedai Roti Bakar di Kompleks Time Square, George Town pada 7 September 2016 kira-kira pukul 3.30 petang.
Bagi kedua-dua pertuduhan, Komaladevi didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Selvaranjini dan Mohamad Azlan Basri, manakala tertuduh diwakili peguam Ashokathimulan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 beserta seorang penjamin.
Kes akan disebut semula pada 3 Disember depan bagi serahan dokumen. – K! ONLINE