PETALING JAYA- Berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di tiga lokaliti, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga lokaliti itu ialah Flat Sungai Emas di Kuala Langat, Plaza Hentian Kajang di Hulu Langat dan Kampung Haji Baki di Kuching.
“Di Flat Sungai Emas, sehingga 24 Oktober, sebanyak 1,044 saringan telah dilaksanakan dan 42 individu didapati positif Covid-19, manakala di Plaza Hentian Kajang, sebanyak 909 saringan telah dilaksanakan dan 63 individu didapati positif Covid-19.
“Atas nasihat Kementerian Kesihatan, sidang hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Flat Sungai Emas, Jalan Emas 31 dan Jalan Emas 32 serta Plaza Hentian Kajang bermula 28 Oktober hingga 10 November,” katanya pada sidang akhbar harian di Kementerian Pertahanan hari ini.
PKPD Flat Sungai Emas melibatkan tujuh blok flat serta rumah teres dengan jumlah 1,300 penduduk. Bagi PKPD Plaza Hentian Kajang, ia akan melibatkan seramai 7,500 penduduk.
Bagi Kampung Haji Baki, Ismail Sabri berkata, sehingga 26 Oktober, sebanyak 845 saringan yang telah dilaksanakan dan 27 orang didapati positif Covid-19.
“Sidang khas bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Haji Baki, Kuching bermula 28 Oktober sehingga 10 November.
“PKPD ini merangkumi 532 unit rumah yang melibatkan seramai 4,191 orang penduduk,” katanya.
Dalam pada itu, PKPD di Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman Pulau Pinang dilanjutkan selama 14 hari bermula 29 Oktober sehingga 11 November.
Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan pelaksanaan PKPD di Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman Negeri Pulau Pinang bermula 15 Oktober sehingga 28 Oktober namun, sehingga kini masih terdapat kes positif dikesan dalam kalangan tahanan serta kakitangan penjara. -K! ONLINE