PETALING JAYA – Seorang kru dilaporkan meninggal dunia dalam satu insiden kapal karam di perairan Kuala Baram, Miri, Sarawak pagi tadi.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim Putrajaya menerima aduan dari kapal Sapura Construction pada pukul 6.45 pagi tadi.
Katanya, kapal tersebut melaporkan telah menerima isyarat kecemasan dari kapal Dayang Topaz di kedudukan 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri.
“Kapal Sapura Construction telah bergerak ke lokasi untuk mengesan lokasi sebenar kapal Dayang Topaz yang dilaporkan mulai karam dengan 62 kru masih berada di atas kapal, manakala 125 kru lagi telah terjun ke laut.
“Aset-aset bantuan telah segera digerakkan ke lokasi yang merangkumi tiga kapal dan sebuah bot APMM di Miri bersama tujuh kapal dan bot milik syarikat Petronas dan Shell,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook agensi itu.
Sehingga pukul 9.29 pagi, kesemua mangsa yang terjun ke laut seramai 124 orang telah berjaya diselamatkan, manakala seorang meninggal dunia dan 62 kru masih berada di atas kapal Dayang Topaz. – K! ONLINE